Thursday, 31 December 2015

Penghujung 2015 Ini, Sebuah Coretan

Sabar & Tanggung Kesakitan

"... Sakit tu enta kena rasa, baru tahu harga dan nilai sebuah mujahadah..."

Pesan seorang al-akh al-murabbi saat aku mengadu padanya perasaan gundah yang sedang aku alami malam tadi. Ujian yang Allah kirim kali ini sangat sangat-sangat mencabar. Syaitan pula memang tak pernah berhenti buat kerjanya, membisik idea-idea jahat.

Alhamdulillah, untaian nasihat yang pada aku sangat kemas untuk menjadi penutup kepada tahun 2015 yang hanya berbaki beberapa jam saja lagi (mengikut time-zone Mesir).

2015 sememangnya terlalu banyak mengajar aku erti kehidupan. Terutamanya soal pengorbanan dan cinta. Juga soal takdir dan cita-cita. Terlalu banyak.

Yup, dalam proses pembelajaran tersebut pasti kadang-kala ada tempoh yang memerlukan kita untuk menanggung rasa sakit dan pedih. Menangis. Dalam tempoh inilah biasanya ramai orang meletup, atau sekurang-kurangnya meloncat dan melatah. Namun perkara yang paling tepat untuk dilakukan pada saat-saat kritikal tersebut adalah sabar, tanggung rasa sakit tersebut, cuba untuk senyum (kalau mampu, menangis pun oke), dan urus!

Terima kasih dakwah & tarbiyah!

Dunia dakwah dan tarbiyah sememangnya terlalu luas untuk kita katakan tidak padanya, untuk kita berputus asa daripadanya, untuk kita berdalih-dalih dan memberi seribu alasan di hadapannya. Amat rugi siapa yang kalah dan berhenti! Kalah dan berhenti hanya kerana hal remeh-temeh dunia!

Memang hakikat tarbiyah itu akan menghancurkan segala jenis mimpi dan cita-cita, memadam segala jenis harapan dan cinta, sekiranya mimpi, cita-cita, harapan, dan cinta itu tidak selari dengan mimpi, cita-cita, harapan, dan cinta yang dikehendaki oleh dakwah & tarbiyah. Sehingga akhirnya hanya mimpi, cita-cita, harapan, dan cinta dakwah & tarbiyah yang akan dilaksanakan!

2015 turut menyedarkan aku hakikat ini.

"Hancurkan segala impian dan harapan enta tu..." pesan seorang al-akh al-murabbi pada aku pada pertengahan 2015 di sebuah restoran masywiyat.

Silap & Baiki

Memang tiada manusia yang tidak buat kesilapan. Setiap daripada kita pasti akan melakukan kesilapan dalam hari-hari kita. Persoalannya adalah apakah respon kita pada kesilapan tersebut. Apakah kita mengalah dan berhenti? Putus asa? Atau apakah kita ambil pelajaran dan baiki?

Sangat beruntung mereka yang sering membaiki kesilapan-kesilapan dalam kehidupannya dan dijadikan pula sempadan.

"Semuanya adalah proses dalam membina kematangan diri", kata seorang al-akh al-murabbi pada aku dalam sebuah pertemuan di sini. Naik dan turun dalam kehidupan ini adalah satu proses yang tidak boleh tidak mesti dilalui oleh seseorang untuk terus maju dan berkembang.

Dan Akhirnya...

Terima kasih kepada semua yang terlibat mewarna-warnikan perjalanan kehidupan aku pada tahun 2015.

Semoga kita terus kuat untuk 2016. Semoga kita dikurniakan rasa lazat hidup di bawah naungan Al-Quran sehingga kita mati. Semoga Allah kurniakan kita syurga. Amin!

‏ عن أبي يعلى شداد بن أوس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏ الكيس من دان نفسه، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من أتبع نفسه هواها، وتمنى على الله الأماني‏"‏ ‏(‏‏(‏رواه الترمذي وقال حديث حسن‏)‏‏)‏‏.‏

Shaddad bin Aus (May Allah be pleased with him) reported:

The Prophet (ﷺ) said, "A wise man is the one who calls himself to account (and refrains from doing evil deeds) and does noble deeds to benefit him after death; and the foolish person is the one who subdues himself to his temptations and desires and seeks from Allah the fulfillment of his vain desires".

[At-Tirmidhi, Hasan].

Tuesday, 8 September 2015

Atas Dasar Apa Engkau Berjuang?

Buih-Buih Yang Tidak Kekal

Matrouh, 2015


(أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا ۚ وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ ۚ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً ۖ وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ)

[سورة الرعد : 17]

"Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang al-haq dan al-batil. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan". [Ar-Ra’d : 17]

Sudah menjadi satu sunnatullah, setiap perkara yang dilakukan tidak didasari atau berlandaskan kepada wahyu pasti tidak akan kekal lama. Ya, setiap perkara... Agama, ideologi, politik, sistem atau undang-undang, percintaan, persahabatan, segala jenis urusan kehidupan harian, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besarnya. Setiap perkara yang tidak dilakukan atas dasar wahyu pasti akan hancur binasa, biarpun pada luaran dan awalnya nampak gah dan perkasa, namun ianya ibarat api yang membakar dan memakan segala-gala yang disentuhnya, apabila ia tidak mendapati apa-apa lagi untuk dibakar dan dimakan, ia akan memakan dirinya sendiri lantas lenyap.

Saturday, 25 July 2015

Ghazwul Fikr: Kita Diserang Dari Setiap Sudut

Peperangan Itu Sudah Tamat?

Sumber gambar : Islampos.com

Siri-siri peperangan salib yang berterusan dari abad ke-11 Masihi sehingga abad ke-14 Masihi sebenarnya  tidak berakhir di situ sahaja. Peperangan itu masih berterusan sehingga ke hari ini namun dalam bentuk yang berbeza. Pertembungan antara al-haq (kebenaran) dan al-batil (kepalsuan) itu akan tetap ada dan berterusan selagi mana matahari, bumi, bulan, dan planet-planet serta bintang-bintang yang lain seluruhnya masih berputar dan beredar di dalam orbitnya.

King Louis IX, Raja Perancis yang telah melancarkan perang salib ke-7 (1248-1254 M)  telah merumuskan sebuah formula bagi menghancurkan umat Islam sejurus setelah dibebaskan dari penjara kerajaan Khalifah Islam Bani Abbasiyah di Mesir dengan jumlah tebusan yang sangat besar.  Beliau berkata kepada bangsa Eropah ketika itu ;

“... Kamu tidak akan mampu untuk mengalahkan orang-orang Islam di medan peperangan, pertama sekali kamu mesti mengalahkan mereka dalam medan peperangan pemikiran. Kemudian selepas itu barulah mudah bagi kamu untuk menguasai mereka...”

Bukan dengan libasan mata pedang atau hujanan anak panah. Bukan juga dengan tembakan butir-butir peluru daripada senapang raifal atau ledakan-ledakan bom meriam. Tetapi dengan menjauhkan orang-orang Islam daripada ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Menjauhkan hati-hati umat Islam daripada sentuhan wahyu dari langit. Inilah yang dinamakan sebagai ‘ghazwul fikr’ atau 'peperangan pemikiran'.

Monday, 6 July 2015

Mereka Yang Celaka Menjelang Ramadhan

Ramadhan : Festival Ketaatan Karnival Keampunan

Cairo, 2015

(شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ) [سورة البقرة 185]

“Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada sekalian manusia,  dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang haq dan yang batil” [Al-Baqarah : 185]

Bulan Ramadhan yang datang menjenguk setiap tahun sangat signifikan dengan kelimpahan dan kemurahan kasih sayang, cinta, dan rahmat daripada Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang beriman. Dengan janji-janji hebat daripada Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang soleh dan beriman dalam bulan Ramadhan, pasti bulan Ramadhan adalah ibarat ‘durian runtuh’ bagi para muslimin yang ikhlas mahukan syurga, kasih sayang, serta cinta Allah SWT, pasti bulan Ramadhan sangat ditunggu-tunggu, dirindui, dan didambakan oleh para mukminin yang sentiasa mahu dan berlumba-lumba meraih redhaNya.

Maka tidak hairan lah apabila diceritakan bahawa para salafus soleh pada zaman awal Islam dahulu sudah berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya mereka diberikan peluang dan ruang untuk sampai kepada bulan Ramadhan seawal 6 bulan sebelum tibanya bulan yang penuh keberkatan tersebut.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، - رضى الله عنه - قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ‏"‏ ‏. (مسلم)
ah dan memperbanyak amal soleh?

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Setiap amalan anak Adam akan digandakan ganjarannya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda, Allah SWT telah berfirman, ‘Kecuali puasa, ianya adalah untukKu dan aku yang akan mengganjarinya, ianya meninggalkan syahwatnya dan makanannya demi kerana Aku, kepada orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika ianya berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada wangian kasturi’”. (Muslim)

Ya, inilah dia bulan yang penuh kasih-sayang, pengampunan, dan pelepasan daripada api neraka oleh Allah SWT. Pada bulan ini para muslimin diwajibkan berpuasa pada siangnya dan disunatkan pada malamnya untuk menunaikan ibadat khusus yang hanya ada dalam bulan ini iaitu solat Tarawih. Pada bulan ini juga kita dapat melihat orang-orang Islam rata-ratanya berlumba-lumba dan berpusu-pusu untuk membuat kebaikan dan amal soleh. Masjid yang selalunya lengang dan kosong terutamanya pada waktu subuh tiba-tiba penuh sampai ke barisan belakang, tabung masjid yang selalunya berhabuk dan berdebu tiba-tiba penuh dengan wang sumbangan dan derma, kumpulan-kumpulan lelaki dan wanita yang bertadarus Al-Quran tiba-tiba tumbuh pesat bagai ‘tumbuhnya cendawan selepas hujan’, dan orang-orang miskin yang selalu berlapar tiba-tiba dapat merasa lauk ayam yang lazat setiap hari. Lihatlah betapa ajaibnya bulan Ramadhan!

Friday, 1 May 2015

Kesepakatan Tunjang Kekuatan Ummah (Bahagian 2)

[Baca (Bahagian 1) di sini]

Musuh Tidak Akan Duduk Diam

Antara bidak-bidak catur utama dalam barisan tentera Iblis laknat zaman moden, (sumber gambar : google)

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan di atas muka bumi ini, permusuhan dan pertembungan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Itulah ketetapan Allah ataupun sunnah yang Allah SWT telah tetapkan sejak Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi. Itulah permusuhan ataupun pertembungan antara janji Allah SWT dan godaan Iblis laknat, itulah permusuhan ataupun pertembungan antara iman dan kekufuran, antara petunjuk dan kesesatan, antara cahaya dan kegelapan, antara al-haq (kebenaran)  dan al-batil (kebatilan).

(... قُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ...) [سورة البقرة : 36]

(... Kami berfirman : “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain...) [ Al-Baqarah : 36]

Pertembungan antara al-haq dan al-batil pasti dan sentiasa terus menerus berlaku sepanjang zaman. Tentera-tentera Allah SWT sentiasa berada di dalam sebuah medan peperangan yang sama bersama Iblis laknat dan bala tenteranya yang terdiri daripada syaitan dalam kalangan jin dan manusia. Pihak musuh akan sentiasa menyerang dan menggasak pihak yang menjulang panji kebenaran selagi mana mereka terus kuat dan utuh menggenggam panji kebenaran tersebut. Pihak musuh tidak akan sesekali redha dan berhenti melangkah demi menjatuhkan panji kebenaran tersebut.

Kita dapat lihat apabila perpecahan dan ketidaksepakatan berlaku dalam satu-satu masyarakat, musuh-musuh yang telah sekian lama memerhati akan mula membuat cubaan-cubaan menyusup masuk bagi menguasai dan mendominasi keadaan. Itulah antara strategi Iblis dalam siri-siri serangannya terhadap tentera-tentera  Allah SWT.

Contoh yang jelas berlaku dalam peristiwa peperangan Uhud. Apabila pasukan pemanah tentera Islam yang ditempatkan di atas bukit Uhud berpecah dan hilang kata sepakat, dengan pantas pasukan tentera Khalid Al-Walid menggempur dan melancarkan serangan balas bagi menguasai medan pertempuran.

Begitu juga yang kita dapat lihat dalam kisah perbalahan antara suku Aus dan Khazraj di kota Yathrib sebelum mereka menerima Islam. Peperangan dan perpecahan yang berpanjangan selama bertahun-tahun antara keduanya telah menarik perhatian orang-orang Yahudi di kota Yathrib bagi mengambil kesempatan demi kepentingan kedudukan politik dan ekonomi mereka di tanah yang subur tersebut. Sedangkan mereka hanyalah golongan minoriti.

Sunday, 19 April 2015

Kesepakatan Tunjang Kekuatan Ummah (Bahagian 1)

Pertumpahan Darah Di Kota Yathrib

Hari Bu’ath (يوم البعاث) , 5 tahun sebelum Hijrah : Sekali lagi, sebuah peperangan tercetus. Kali ini lebih dahsyat. Bahkan dikatakan sebagai peperangan yang paling dahsyat dalam sejarah kota Yathrib. Terlalu banyak jiwa terkorban dari kedua-dua belah pihak, Aus dan Khazraj. Peperangan kali ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada suku Aus.

Begitulah. Suku Aus dan Khazraj adalah dua suku yang menjadi majoriti di kota Yathrib. Namun begitu, sejak lebih seratus tahun lagi, api-api peperangan sering tercetus antara kedua-dua belah pihak. Kadang-kadang hanya disebabkan sesuatu perkara yang remeh, pertumpahan darah berlaku. Seolah-olah peperangan sudah menjadi sebati dalam jiwa-jiwa mereka. Seolah-olah pertumpahan darah sudah menjadi darah dan daging dalam jasad-jasad mereka. Ironinya, sejarah membuktikan mereka pada asalnya adalah daripada nasab keturunan atau susur galur yang sama, mereka pada asalnya adalah satu keluarga.

Siri-siri peperangan dan pertumpahan darah yang tercetus antara kedua-dua belah suku Aus dan Khazraj menyebabkan perasaan dengki dan benci antara mereka semakin membuak-buak. Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku dalam kalangan mereka menyebabkan perasaan dendam kesumat antara mereka semakin menebal. Mana tidaknya, konflik-konflik yang berlaku bukannya berlaku dalam tempoh setahun atau dua, tetapi sejak lebih seratus tahun! Mereka mewarisi persengketaan ini daripada ayah-ayah dan datuk-datuk mereka!

Lebih memburukkan keadaan, orang-orang Yahudi yang tinggal menumpang di luar dan dalam kota Yathrib melihat konflik-konflik yang berlaku antara suku Aus dan Khazraj yang berlanjutan ini sebagai satu peluang bagi mereka untuk mengukuhkan kedudukan politik dan ekonomi mereka di tanah Yathrib yang subur. Mereka mengadakan pelbagai perjanjian-perjanjian palsu dengan kedua-dua belah pihak yang tujuan utamanya adalah bagi melaga-lagakan lagi kedua suku Aus dan Khazraj. Mereka menuangkan lagi minyak ke atas api yang sedang membara dan membakar. Sungguh, mereka ini adalah ibarat api dalam sekam, musuh dalam selimut, dan gunting dalam lipatan.

Saturday, 17 January 2015

Imam, Makmum, & Tulang Rusuk

Cinta Puitis Islamis

Credit : Google
"Duhai pemilik tulang rusukku, aku sedang menantimu, rela ku menunggumu, walau seribu tahun..."

"Wahai, daku sedang menantikan seseorang yang sudi menjadikan daku sebagai makmumnya, duhai bakal imamku..."

*Ambil baldi sekejap dan muntah*

Fenomena 'cinta islamis' atau 'cinta puitis islamis' atau dengan bahasa kasarnya 'gedik islamik' nampaknya semakin menular bak epidemik dan semakin tumbuh subur bak cendawan tumbuh pasca turunnya hujan dalam kalangan remaja muslim khususnya para du'at (pendakwah) ataupun mereka yang mengaku sebagai seorang da'ie (juga bermaksud pendakwah). Bahkan ada antara mereka yang menyatakan perbuatan ini tidak salah dan 'halal' di sisi Islam.

Tegasnya, sifat sebegini tidak sepatutnya ada dalam jiwa mereka yang mendakwa dirinya sebagai seorang yang membawa risalah Islam, kerana ianya merupakan suatu perkara yang kecil, sia-sia, dan akan membawa kepada banyak angan-angan seterusnya akan mengakibatkan produktiviti amal terjejas. Selain itu, penyakit ini juga sedikit-sebanyak dapat merosakkan imej pendakwah islam di mana masyarakat kebanyakan akan menganggap bahawa motif utama penggabungan diri dalam jemaah dakwah adalah untuk mencari pasangan hidup dan seterusnya hidup bahagia dalam dunia yang penuh cinta, walhal pada hakikatnya bukan sekadar itu.

Salahkah Aku Mencari Jodoh?

Credit : Google, unknown artist
Pasti persoalan ini timbul dalam benak hati pembaca, ketahuilah bahawa Allah SWT telah berfirman :

(وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ) [سورة الروم : 21]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...