Ramadhan : Festival Ketaatan Karnival Keampunan
 |
| Cairo, 2015 |
(شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ
وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ) [سورة البقرة 185]
“Bulan
Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada sekalian
manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan
antara yang haq dan yang batil” [Al-Baqarah : 185]
Bulan Ramadhan yang datang menjenguk setiap tahun sangat
signifikan dengan kelimpahan dan kemurahan kasih sayang, cinta, dan rahmat
daripada Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang beriman. Dengan janji-janji hebat
daripada Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang soleh dan beriman dalam bulan
Ramadhan, pasti bulan Ramadhan adalah ibarat ‘durian runtuh’ bagi para muslimin
yang ikhlas mahukan syurga, kasih sayang, serta cinta Allah SWT, pasti bulan
Ramadhan sangat ditunggu-tunggu, dirindui, dan didambakan oleh para mukminin
yang sentiasa mahu dan berlumba-lumba meraih redhaNya.
Maka tidak hairan lah apabila diceritakan bahawa para
salafus soleh pada zaman awal Islam dahulu sudah berdoa dan memohon kepada
Allah SWT supaya mereka diberikan peluang dan ruang untuk sampai kepada bulan
Ramadhan seawal 6 bulan sebelum tibanya bulan yang penuh keberkatan tersebut.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ،
- رضى الله عنه - قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " كُلُّ
عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ
ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي
بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ
عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ . وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ
عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ " . (مسلم)
ah dan memperbanyak amal soleh?
Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Setiap
amalan anak Adam akan digandakan ganjarannya sebanyak sepuluh kali ganda
sehingga tujuh ratus kali ganda, Allah SWT telah berfirman, ‘Kecuali puasa,
ianya adalah untukKu dan aku yang akan mengganjarinya, ianya meninggalkan
syahwatnya dan makanannya demi kerana Aku, kepada orang yang berpuasa ada dua
kegembiraan, kegembiraan ketika ianya berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa
tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada wangian
kasturi’”. (Muslim)
Ya, inilah dia bulan yang penuh kasih-sayang, pengampunan,
dan pelepasan daripada api neraka oleh Allah SWT. Pada bulan ini para muslimin diwajibkan
berpuasa pada siangnya dan disunatkan pada malamnya untuk menunaikan ibadat
khusus yang hanya ada dalam bulan ini iaitu solat Tarawih. Pada bulan ini juga
kita dapat melihat orang-orang Islam rata-ratanya berlumba-lumba dan
berpusu-pusu untuk membuat kebaikan dan amal soleh. Masjid yang selalunya
lengang dan kosong terutamanya pada waktu subuh tiba-tiba penuh sampai ke
barisan belakang, tabung masjid yang selalunya berhabuk dan berdebu tiba-tiba
penuh dengan wang sumbangan dan derma, kumpulan-kumpulan lelaki dan wanita yang
bertadarus Al-Quran tiba-tiba tumbuh pesat bagai ‘tumbuhnya cendawan selepas
hujan’, dan orang-orang miskin yang selalu berlapar tiba-tiba dapat merasa lauk
ayam yang lazat setiap hari. Lihatlah betapa ajaibnya bulan Ramadhan!