Bertaubatnya Seorang Pelopor Ajaran Sesat
 |
| Sumber : http://www.ismaweb.net/2016/05/rasul-melayu-dibebaskan-bertaubat/ |
Alhamdulillah, hari ini seorang lelaki melayu yang pernah mengaku dirinya seorang rasul dan nabi kepada umat nusantara telah bertaubat dan menyatakan kekesalan terhadap perbuatannya tersebut.
Kali pertama saya mengenali nama Kahar Ahmad adalah ketika beliau mengisytiharkan dirinya seorang rasul dalam sebuah video edisi bongkar yang bertarikh 30 Julai 2005 sekitar tahun 2011. Selepas lebih 10 tahun berlalu, beliau bertaubat dari perbuatan tersebut. Segala puji bagi Allah SWT yang maha memberi hidayah dan maha mengeluarkan hamba-hambaNya dari kegelapan kepada cahaya keimanan. Semoga Kahar Ahmad diterima taubatnya dan beroleh syurga.
Berita ini mendorong saya untuk mencari semula video tersebut di laman Youtube. Betapa ekstrim dakwaan-dakwaan Kahar Ahmad ketika itu. Nabi dan Rasul untuk umat nusantara, surah Yaasin diturunkan kepada beliau, jaminan masuk syurga bagi sesiapa yang mengikut beliau, dan cara bersolat yang berbeza daripada cara yang biasa dilakukan.
Namun perkara yang lebih menarik perhatian saya adalah bilangan pengikut beliau ketika itu yang sangat fanatik. Saya agak-agak tidak kurang daripada 50 orang yang menyertai Kahar Ahmad semasa perbicaraan beliau di mahkamah untuk menyatakan sokongan. Lelaki dan wanita, tua dan muda semua ada dan tidak terkecuali. Semoga mereka semua turut bertaubat dan kembali kepada akidah Islam yang sejahtera.
Bilangan 50 orang pengikut yang fanatik untuk satu-satu isu ajaran sesat yang terpencil seperti ini bukanlah bilangan yang boleh dipandang enteng. Ianya menjadi indikator yang jelas betapa umat Islam di Malaysia pada ketika itu begitu mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang karut dan menyeleweng. Ianya menunjukkan betapa umat Islam di Malaysia kurang pemahamannya terhadap akidah Islam yang sebenar. Ya, mungkin kita boleh kata isu tersebut berlaku pada tahun 2005, zaman internet dan teknologi maklumat baru mahu berkembang.
Isu nabi palsu juga bukanlah isu yang baru, ianya telah berlaku sejak zaman baginda Rasulullah SAW masih hidup. Mungkin pada tahun 2016 ini sekiranya seorang lelaki tiba-tiba bertempik dari atas sebuah bangunan menyatakan bahawa beliau seorang nabi atau rasul masyarakat tidak akan percaya, atau sekurang-kurangnya masyarakat akan membuat carian dahulu di Google atau Whatsapp UAI atau lain-lain ustaz sebelum mempercayai lelaki tersebut.
Jahiliyyah Juga Berevolusi
Namun tidak wajar untuk kita lupakan bahawa jahiliyyah turut sama berevolusi mengikut peredaraan zaman. Jahiliyyah pada zaman millenium kini menjadi lebih licik dan halus. Syaitan dan iblis juga punya strategi bagi menyesatkan golongan manusia. Mungkin jahiliyyah itu sudah disarungkan dengan agama supaya masyarakat mampu menerimanya, boleh jadi. Mungkin tentera-tentera syaitan itu menampal-nampal Islam dengan tempelan-tempelan asing bagi membuatkan umat Islam mampu menerimanya kerana masih ada Islam pada namanya.
Terlalu banyak contoh ajaran sesat moden ini sekiranya mahu disenaraikan. Antaranya adalah Islam liberal yang melahirkan beberapa ajaran songsang yang lain, Islam moderat yang ditaja dan disenangi oleh barat, Syiah yang sudah lama bertapak di Malaysia, sufisme terlampau yang membawa kepada syirik dan khurafat serta lain-lain ajaran sesat yang secara halus meresap ke dalam minda umat Islam. Kesemua ajaran ini dicipta oleh syaitan dan kuncu-kuncunya tidak lain tidak bukan adalah bertujuan bagi menyesatkan manusia dan mengheret mereka ke neraka. Kesemuanya adalah ajaran yang terhasil daripada dorongan hawa nafsu liar dan bisikan syaitan.
Nah, agak-agak berapa ramai pula umat Islam yang secara sedar atau tidak sedar sudah menganut ajaran-ajaran sesat yang sudah berevolusi ini?