Wednesday 21 September 2016

Mereka Telah Merancang Kematian Mereka...

Surat Wasiat Pemudi Palestin


Pernah sekali semasa saya sedang membaca isu-isu terbaru sekitar Intifadhah al-Quds di laman Facebook, perhatian saya tertarik dengan sebuah gambar yang memaparkan surat wasiat yang telah ditulis oleh seorang pelaksana operasi tikaman di Tebing Barat yang telah syahid. Beliau adalah seorang gadis muda dari Qalqilya, Rasha Uwaisi. Beliau syahid akibat tembakan peluru hidup yang dilepaskan tentera Zionis selepas cubaan beliau melakukan operasi tikaman berdekatan sebuah checkpoint tentera, umurnya baru mencecah 23 tahun.

“Aku memilih jalan ini dalam keadaan aku sedar diri, demi mempertahankan tanah airku, pemuda juga pemudinya!”, ujar Rasha dalam surat wasiatnya.

Surat wasiat yang ditinggalkan Rasha Uwaisi, 23.


Intifadhah al-Quds atau nama lainnya Intifadhah as-Sakakin yang telah dilancarkan sejak awal Oktober 2015 di Palestin khususnya Tebing Barat telah menggegarkan seluruh bumi terjajah. Sejak tarikh itu, rakyat Israel tidak senang duduk di dalam negara yang mereka dakwa sebagai negara yang paling kuat dan paling aman di atas muka bumi. Mana tidaknya, setiap hari ada sahaja cubaan menikam dengan pisau yang dilakukan oleh rakyat Palestin terhadap bangsa penjajah Zionis. Ada juga yang menyerang dengan rempuhan kereta dan tembakan senjata api. Begitulah hakikat yang berlaku sekarang di dalam sempadan terjajah tersebut sejak bermulanya Intifadhah. Bangsa Zionis sentiasa berada di dalam keadaan cemas dan takut di dalam negara jajahan mereka sendiri!

Sunday 29 May 2016

RUU Mahkamah Syariah (Pindaan) TGHH & Respon LGE, DAP

Sumber : Ubah.TV

"This is nothing against Islam or shariah law, but what we're looking at is the Constitution." - LGE

Walaupun berkali-kali pakcik LGE mengelat dan menggunakan alasan mempertahankan perlembagaan, respon pakcik Setiausaha Agung parti rasis dan chauvinis DAP tersebut semasa sidang media terhadap pembentangan RUU persendirian oleh TGHH Khamis lepas menunjukkan dengan jelas lagi bersuluh bahawa pakcik LGE yang merupakan kepala DAP dan seluruh anggota-anggota parti sehingga ke hujung kuku kakinya amat benci dan meluat dengan segala apa yang berkaitan dengan Islam.

Walaupun RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 tersebut hanyalah sebuah cadangan pindaan kepada undang-undang sedia ada yang terhad kepada orang Islam sahaja dan kelulusannya masih bergantung kepada Majlis Agama Islam negeri, Majlis Raja-Raja serta pindaan undang-undang di Parlimen, namun LGE dan kuncu-kuncunya sudah menggeletik terloncat-loncat macam ikan dicampak ke atas tanah apabila ia dibentangkan. Agaknya bagaimana pula respon mereka sekiranya RUU Undang-Undang Jenayah Hudud dibentangkan suatu hari nanti?

Dalam sidang media tersebut LGE mengaku apa yang mereka bimbangkan adalah progression atau perkembangan undang-undang Islam di Malaysia pada masa akan datang sekiranya RUU persendirian ini diluluskan. Negara dua sistem yang pada akhirnya pasti akan menjadi satu, it's only the matter of time katanya. Nah, jelaslah apa yang mereka takut adalah Malaysia menjadi sebuah negara Islam pada sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.

Pertahankan perlembagaan? Apa yang LGE dan kuncu-kuncunya mahu hanyalah Malaysia tidak menjadi sebuah negara Islam. Lupakan perlembagaan, hakikatnya LGE tidak mahu cita-citanya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular terjejas walaupun dengan sebuah 'langkah kecil' yang diutarakan oleh Presiden PAS, iaitu cadangan untuk meminda undang-undang sedia ada yang terhad kepada orang Islam sahaja. Namun kenapa LGE dan partinya DAP rasa butthurt sangat?

Percayalah bahawa DAP pasti akan sentiasa mempertikaikan segala usaha mana-mana pihak untuk memartabat dan menambah baik kedudukan Islam di Malaysia, walau sekecil manapun usaha tersebut. DAP pasti akan sentiasa menyekat segala usaha mana-mana pihak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, walau sekecil manapun usaha tersebut. Ya, walau sekecil manapun usaha tersebut.

Lebih menyedihkan apabila ada segelintir orang Islam yang duduk bertenggek mengemis kasih daripada DAP dan kuncu-kuncunya. Celaru! Aspirasi siapa sebenarnya yang mereka mahu realisasikan? Projek siapa sebenarnya yang mereka usahakan? Aspirasi dan projek Islam kah atau sebaliknya?

Umat Islam di Malaysia wajib bersatu dan bersepakat di dalam sebuah pakatan dan barisan untuk memartabat dan mempertahankan Islam di Malaysia, bersatu dan bersepakat membina sebuah negara Malaysia yang muslim. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Semoga Allah selamatkan Malaysia.

Monday 16 May 2016

Jahiliyyah Yang Berevolusi

Bertaubatnya Seorang Pelopor Ajaran Sesat

Sumber : http://www.ismaweb.net/2016/05/rasul-melayu-dibebaskan-bertaubat/

Alhamdulillah, hari ini seorang lelaki melayu yang pernah mengaku dirinya seorang rasul dan nabi kepada umat nusantara telah bertaubat dan menyatakan kekesalan terhadap perbuatannya tersebut.

Kali pertama saya mengenali nama Kahar Ahmad adalah ketika beliau mengisytiharkan dirinya seorang rasul dalam sebuah video edisi bongkar yang bertarikh 30 Julai 2005 sekitar tahun 2011. Selepas lebih 10 tahun berlalu, beliau bertaubat dari perbuatan tersebut. Segala puji bagi Allah SWT yang maha memberi hidayah dan maha mengeluarkan hamba-hambaNya dari kegelapan kepada cahaya keimanan. Semoga Kahar Ahmad diterima taubatnya dan beroleh syurga.

Berita ini mendorong saya untuk mencari semula video tersebut di laman Youtube. Betapa ekstrim dakwaan-dakwaan Kahar Ahmad ketika itu. Nabi dan Rasul untuk umat nusantara, surah Yaasin diturunkan kepada beliau, jaminan masuk syurga bagi sesiapa yang mengikut beliau, dan cara bersolat yang berbeza daripada cara yang biasa dilakukan.

Namun perkara yang lebih menarik perhatian saya adalah bilangan pengikut beliau ketika itu yang sangat fanatik. Saya  agak-agak tidak kurang daripada 50 orang yang menyertai Kahar Ahmad semasa perbicaraan beliau di mahkamah untuk menyatakan sokongan. Lelaki dan wanita, tua dan muda semua ada dan tidak terkecuali. Semoga mereka semua turut bertaubat dan kembali kepada akidah Islam yang sejahtera.

Bilangan 50 orang pengikut yang fanatik untuk satu-satu isu ajaran sesat yang terpencil seperti ini bukanlah bilangan yang boleh dipandang enteng. Ianya menjadi indikator yang jelas betapa umat Islam di Malaysia pada ketika itu begitu mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang karut dan menyeleweng. Ianya menunjukkan betapa umat Islam di Malaysia kurang pemahamannya terhadap akidah Islam yang sebenar. Ya, mungkin kita boleh kata isu tersebut berlaku pada tahun 2005, zaman internet dan teknologi maklumat baru mahu berkembang.

Isu nabi palsu juga bukanlah isu yang baru, ianya telah berlaku sejak zaman baginda Rasulullah SAW masih hidup. Mungkin pada tahun 2016 ini sekiranya seorang lelaki tiba-tiba bertempik dari atas sebuah bangunan menyatakan bahawa beliau seorang nabi atau rasul masyarakat tidak akan percaya, atau sekurang-kurangnya masyarakat akan membuat carian dahulu di Google atau Whatsapp UAI atau lain-lain ustaz sebelum mempercayai lelaki tersebut.

Jahiliyyah Juga Berevolusi

Namun tidak wajar untuk kita lupakan bahawa jahiliyyah turut sama berevolusi mengikut peredaraan zaman. Jahiliyyah pada zaman millenium kini menjadi lebih licik dan halus. Syaitan dan iblis juga punya strategi bagi menyesatkan golongan manusia. Mungkin jahiliyyah itu sudah disarungkan dengan agama supaya masyarakat mampu menerimanya, boleh jadi. Mungkin tentera-tentera syaitan itu menampal-nampal Islam dengan tempelan-tempelan asing bagi membuatkan umat Islam mampu menerimanya kerana masih ada Islam pada namanya.

Terlalu banyak contoh ajaran sesat moden ini sekiranya mahu disenaraikan. Antaranya adalah Islam liberal yang melahirkan beberapa ajaran songsang yang lain, Islam moderat yang ditaja dan disenangi oleh barat, Syiah yang sudah lama bertapak di Malaysia, sufisme terlampau yang membawa kepada syirik dan khurafat serta lain-lain ajaran sesat yang secara halus meresap ke dalam minda umat Islam. Kesemua ajaran ini dicipta oleh syaitan dan kuncu-kuncunya tidak lain tidak bukan adalah bertujuan bagi menyesatkan manusia dan mengheret mereka ke neraka. Kesemuanya adalah ajaran yang terhasil daripada dorongan hawa nafsu liar dan bisikan syaitan.

Nah, agak-agak berapa ramai pula umat Islam yang secara sedar atau tidak sedar sudah menganut ajaran-ajaran sesat yang sudah berevolusi ini?

Monday 9 May 2016

Gaza: Lilin Yang Membawa Maut

Malam beberapa hari yang lepas kita dikejutkan dengan kehilangan 3 orang anak Gaza yang masih terlalu baru mahu mengenal dunia, yang paling kecil berumur 2 bulan!

Yusra, Rahaf, dan Nasir. Semoga syurga buat kalian, anak-anak Gaza yang syahid dalam kepungan (syuhada' al-hisar).

Jenazah mereka sudah siap dikafan.

Rumah mereka terbakar, pasukan bomba dan keselamatan awam bergegas ke sana namun api yang marak itu ternyata lebih pantas. Setelah dikenalpasti, punca kebakaran adalah lilin yang digunakan oleh keluarga mereka untuk menerangi ruang rumah. Siapa sangka lilin yang kecil itu mampu membakar seluruh rumah mereka. 3 beradik tersebut syahid bersama-sama, jasad mereka menjadi seakan arang.

Kenapa lilin? Hidup dalam kepungan lebih dari 10 tahun, bekalan elektrik di Gaza amat tidak stabil. Disekat dan dicatu. Jadi penduduk Gaza terpaksa cari alternatif lain bagi menerangi rumah mereka.

Namun, tahukah anda? Tiga beradik tersebut bukanlah mangsa yang pertama. Sejak tahun 2010 sehingga hari ini, seramai 24 orang kanak-kanak Gaza menemui nasib yang sama, syahid melecur akibat kebakaran atau lemas menyedut asap kebakaran.

Sebab kebakaran? Kesemuanya adalah kerana penggunaan alternatif kepada tenaga elektrik seperti lilin, gas, dan generator!

Kepungan dan sekatan Zionis terhadap Gaza sudah berterusan lebih dari 10 tahun. Sampai bilakah kepungan ini akan berterusan? Berapa ramai lagi agaknya anak-anak Gaza yang akan menjadi korban si lilin?

Hasbunallah wa ni'mal wakeel.

Anak patung tinggalan salah seorang daripada tiga anak Gaza yang syahid tersebut.

Thursday 3 March 2016

3 Mac 1942: Tarikh Hitam Buat Umat

Cairo 2016
3 Mac 1924, tarikh hitam buat umat.

Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniah. Lenyapnya khilafah Islamiah dari atas muka bumi.

92 tahun... Hampir seabad titik hitam ini tercalit.

Umat Islam kian lemah, terus digasak dan ditindas. Buminya dipecah-pecah dan diletak sempadan. Anak-anaknya dirosak dengan pelbagai racun dan candu.

Apakah mimpi ngeri ini ada pengakhiran?

Mengapa umat Islam mundur dan umat selain mereka maju dan terkehadapan?

Seorang pemikir Islam, Shakib Arslan menukilkan dalam sebuah risalahnya 6 faktor kemunduran umat Islam :

1. Kedekut untuk membelanjakan harta bagi membantu agama mereka.
2. Jahil dan ilmu yang kurang.
3. Rosak akhlak.
4. Takut dan gerun pada musuh.
5. Sifat putus asa.
6. Jumud dan hilang jati diri.

Beliau berkata lagi, "Umat Islam tidak akan mampu membuka sesebuah kota, merentas sebuah lembah, melayari lautan, menjelajahi daratan, mengorbankan harta dan darah, membangunkan sebuah negara beraja dan tamadun, kecuali apabila dilaksanakan undang-undang Al-Quran yang mulia, iaitu apabila makna-makna Al-Quran itu telah bergabung dengan daging dan darah mereka...".

Satu-satunya solusi.

"Tegakkan Islam dalam hatimu, nescaya Islam akan tertegak di tanah airmu". - Hasan Hudhaibi -
Kembalikan dirimu kepada Al-Quran, Islam akan kembali berdaulat!

Sungguh, ia hanyalah gerhana, bukan tenggelamnya matahari. Mendung ini pasti akan kembali cerah dengan mentari kemenangan.

Ya, hanya apabila umat Islam sudah memenuhi syarat-syarat kemenangan. Ayuh, bangkit!

Thursday 31 December 2015

Penghujung 2015 Ini, Sebuah Coretan

Sabar & Tanggung Kesakitan

"... Sakit tu enta kena rasa, baru tahu harga dan nilai sebuah mujahadah..."

Pesan seorang al-akh al-murabbi saat aku mengadu padanya perasaan gundah yang sedang aku alami malam tadi. Ujian yang Allah kirim kali ini sangat sangat-sangat mencabar. Syaitan pula memang tak pernah berhenti buat kerjanya, membisik idea-idea jahat.

Alhamdulillah, untaian nasihat yang pada aku sangat kemas untuk menjadi penutup kepada tahun 2015 yang hanya berbaki beberapa jam saja lagi (mengikut time-zone Mesir).

2015 sememangnya terlalu banyak mengajar aku erti kehidupan. Terutamanya soal pengorbanan dan cinta. Juga soal takdir dan cita-cita. Terlalu banyak.

Yup, dalam proses pembelajaran tersebut pasti kadang-kala ada tempoh yang memerlukan kita untuk menanggung rasa sakit dan pedih. Menangis. Dalam tempoh inilah biasanya ramai orang meletup, atau sekurang-kurangnya meloncat dan melatah. Namun perkara yang paling tepat untuk dilakukan pada saat-saat kritikal tersebut adalah sabar, tanggung rasa sakit tersebut, cuba untuk senyum (kalau mampu, menangis pun oke), dan urus!

Terima kasih dakwah & tarbiyah!

Dunia dakwah dan tarbiyah sememangnya terlalu luas untuk kita katakan tidak padanya, untuk kita berputus asa daripadanya, untuk kita berdalih-dalih dan memberi seribu alasan di hadapannya. Amat rugi siapa yang kalah dan berhenti! Kalah dan berhenti hanya kerana hal remeh-temeh dunia!

Memang hakikat tarbiyah itu akan menghancurkan segala jenis mimpi dan cita-cita, memadam segala jenis harapan dan cinta, sekiranya mimpi, cita-cita, harapan, dan cinta itu tidak selari dengan mimpi, cita-cita, harapan, dan cinta yang dikehendaki oleh dakwah & tarbiyah. Sehingga akhirnya hanya mimpi, cita-cita, harapan, dan cinta dakwah & tarbiyah yang akan dilaksanakan!

2015 turut menyedarkan aku hakikat ini.

"Hancurkan segala impian dan harapan enta tu..." pesan seorang al-akh al-murabbi pada aku pada pertengahan 2015 di sebuah restoran masywiyat.

Silap & Baiki

Memang tiada manusia yang tidak buat kesilapan. Setiap daripada kita pasti akan melakukan kesilapan dalam hari-hari kita. Persoalannya adalah apakah respon kita pada kesilapan tersebut. Apakah kita mengalah dan berhenti? Putus asa? Atau apakah kita ambil pelajaran dan baiki?

Sangat beruntung mereka yang sering membaiki kesilapan-kesilapan dalam kehidupannya dan dijadikan pula sempadan.

"Semuanya adalah proses dalam membina kematangan diri", kata seorang al-akh al-murabbi pada aku dalam sebuah pertemuan di sini. Naik dan turun dalam kehidupan ini adalah satu proses yang tidak boleh tidak mesti dilalui oleh seseorang untuk terus maju dan berkembang.

Dan Akhirnya...

Terima kasih kepada semua yang terlibat mewarna-warnikan perjalanan kehidupan aku pada tahun 2015.

Semoga kita terus kuat untuk 2016. Semoga kita dikurniakan rasa lazat hidup di bawah naungan Al-Quran sehingga kita mati. Semoga Allah kurniakan kita syurga. Amin!

‏ عن أبي يعلى شداد بن أوس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏ الكيس من دان نفسه، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من أتبع نفسه هواها، وتمنى على الله الأماني‏"‏ ‏(‏‏(‏رواه الترمذي وقال حديث حسن‏)‏‏)‏‏.‏

Shaddad bin Aus (May Allah be pleased with him) reported:

The Prophet (ﷺ) said, "A wise man is the one who calls himself to account (and refrains from doing evil deeds) and does noble deeds to benefit him after death; and the foolish person is the one who subdues himself to his temptations and desires and seeks from Allah the fulfillment of his vain desires".

[At-Tirmidhi, Hasan].

Tuesday 8 September 2015

Atas Dasar Apa Engkau Berjuang?

Buih-Buih Yang Tidak Kekal

Matrouh, 2015


(أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا ۚ وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ ۚ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً ۖ وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ)

[سورة الرعد : 17]

"Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang al-haq dan al-batil. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan". [Ar-Ra’d : 17]

Sudah menjadi satu sunnatullah, setiap perkara yang dilakukan tidak didasari atau berlandaskan kepada wahyu pasti tidak akan kekal lama. Ya, setiap perkara... Agama, ideologi, politik, sistem atau undang-undang, percintaan, persahabatan, segala jenis urusan kehidupan harian, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besarnya. Setiap perkara yang tidak dilakukan atas dasar wahyu pasti akan hancur binasa, biarpun pada luaran dan awalnya nampak gah dan perkasa, namun ianya ibarat api yang membakar dan memakan segala-gala yang disentuhnya, apabila ia tidak mendapati apa-apa lagi untuk dibakar dan dimakan, ia akan memakan dirinya sendiri lantas lenyap.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...