Peperangan Itu Sudah Tamat?
![]() |
| Sumber gambar : Islampos.com |
Siri-siri peperangan salib yang berterusan dari abad ke-11
Masihi sehingga abad ke-14 Masihi sebenarnya
tidak berakhir di situ sahaja. Peperangan itu masih berterusan sehingga
ke hari ini namun dalam bentuk yang berbeza. Pertembungan antara al-haq
(kebenaran) dan al-batil (kepalsuan) itu akan tetap ada dan berterusan selagi
mana matahari, bumi, bulan, dan planet-planet serta bintang-bintang yang lain seluruhnya
masih berputar dan beredar di dalam orbitnya.
King Louis IX, Raja Perancis yang telah melancarkan perang
salib ke-7 (1248-1254 M) telah
merumuskan sebuah formula bagi menghancurkan umat Islam sejurus setelah
dibebaskan dari penjara kerajaan Khalifah Islam Bani Abbasiyah di Mesir dengan
jumlah tebusan yang sangat besar. Beliau
berkata kepada bangsa Eropah ketika itu ;
“... Kamu tidak akan mampu untuk mengalahkan orang-orang
Islam di medan peperangan, pertama sekali kamu mesti mengalahkan mereka dalam
medan peperangan pemikiran. Kemudian selepas itu barulah mudah bagi kamu untuk
menguasai mereka...”
Bukan dengan libasan mata pedang atau hujanan anak panah.
Bukan juga dengan tembakan butir-butir peluru daripada senapang raifal atau
ledakan-ledakan bom meriam. Tetapi dengan menjauhkan orang-orang Islam daripada
ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Menjauhkan hati-hati umat Islam
daripada sentuhan wahyu dari langit. Inilah yang dinamakan sebagai ‘ghazwul
fikr’ atau 'peperangan pemikiran'.
Umat Yang Sedang Tewas
![]() |
| Sumber : Google |
Sama ada kita sedar atau tidak, umat Islam pada masa kini
secara umumnya sedang tewas dalam medan tempur peperangan pemikiran ini. Pihak
musuh secara terus menerus menceroboh dan menyusup masuk ke dalam
pemikiran orang-orang Islam dengan pelbagai cara seterusnya menghancurkannya
dengan mudah daripada dalam. Hal ini berlaku apabila Al-Quran dan Sunnah
Rasulullah SAW sudah tidak lagi diletakkan menjadi neraca pemikiran, pedoman, dan
cara hidup orang-orang Islam.
Lihat sahaja keadaan masyarakat Islam kini. Sungguh,
penuh dengan kebobrokan dan kebejatan. Dari sudut sosial kita dapat lihat
wanita-wanita yang tanpa segan silu mendedahkan bahagian-bahagian tubuh mereka
kepada umum. Kita dapat lihat puluhan batang-batang tubuh yang kurus kering
tersadai di tepi-tepi jalan juga di bawah jambatan, batang tubuh mereka
bergetar dan menggigil menahan rasa ketagihan kokain, marijuana, dan syabu. Kita juga dapat lihat pemuda-pemuda
berpegangan tangan dan berpelukan mesra dengan anak-anak gadis tanpa perasaan
malu. Perasaan malu yang sepatutnya menjadi benteng kepada peribadi seorang
muslim sudah tidak tahu hilang dicampak ke mana. Akhlak Islamiah yang luhur sudah
terkubur. Hal ini seterusnya mengakibatkan kepada berlakunya peningkatan
kes-kes pembuangan bayi, peningkatan kadar kelahiran anak luar nikah, penularan
wabak penyakit AIDS bawaan virus HIV, dan pelbagai masalah dan krisis sosial yang
lain.
Umat Islam hari ini disogokkan dengan pelbagai jenis hiburan
yang melampau. Daripada corong-corong radio dan paparan skrin-skrin televisyen
serta panggung wayang. 24 jam tanpa henti, terlalu banyak. Lagu-lagu yang
berunsurkan cinta dan kelucahan seakan sudah menjadi halwa telinga pemuda-pemudi masa
kini. Rancangan-rancangan realiti yang berbentuk hiburan makin bertambah
jumlahnya bagaikan cendawan yang tumbuh subur selepas turunnya hujan.
Filem-filem terbaru makin canggih dan rancak dihasilkan oleh produser-produser
filem sama ada dari timur atau barat, hollywood juga bollywood. Demi
memenuhi nafsu kemanusiaan mereka yang tidak pernah puas. Umat ini sudah
ditimpa penyakit hedonisme, mereka sudah jatuh cinta dan mabuk kepada hiburan.
Mereka sudah hanyut, tenggelam, dan lemas dalam dakapan hiburan yang melampau.
![]() |
| Isu gadis melayu dipeluk, dicium artis Kpop yang mencetuskan kontroversi di seluruh negara pada bulan Januari 2015. (Sumber gambar : therakyatpost) |
Umat Islam hari ini sudah hilang rasa 'izzah' atau bangga
dengan agama mereka sendiri. Rata-rata mereka seolah-olah rela kepala mereka
dipijak oleh pihak musuh. Apabila agama Allah SWT ini dipermain-main dan dihina
oleh pihak musuh, mereka tidak bangkit mempertahankan dan membela. Mereka
seolah-olah seekor singa yang telah hilang kuku dan taring kemudian bertukar
menjadi seekor kijang yang comel namun pengecut. Lihatlah betapa berkesannya
sistem pendidikan yang disusun oleh pihak musuh untuk anak-anak orang Islam.
Sejarah-sejarah kerajaan serta pahlawan-pahlawan Islam yang ulung dipadam dan
diubah suai mengikut kehendak mereka. Anak-anak orang Islam sudah tidak ada
semangat jihad dan kepahlawanan, anak-anak ini lebih kenal Superman, Ironman, dan Captain America berbanding Tariq Ibn Ziyad, Salahuddin Al-Ayyubi, dan Sultan Muhammad Al-Fateh.
Umat Islam hanya mampu melihat dan rela pihak musuh bertindak seolah raja. Mereka sudah terlalu selesa hidup dalam keadaan yang mereka sangka aman tetapi sebenarnya sedang membunuh mereka secara perlahan-perlahan. Selain arus media perdana yang dikuasai oleh pihak musuh yang sentiasa memberikan pandangan negatif terhadap Islam dan penganutnya. Mereka sewenang-wenangnya mewartakan Islam sebagai agama pengganas atau terrorist, mengaitkan Islam dengan rasisme, menggelar orang-orang Islam sebagai konservatif dan anti-kebebasan, menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis agama dan lain-lain tuduhan yang keji. Namun berapa orang yang berani bangkit melawan?
Umat Islam hanya mampu melihat dan rela pihak musuh bertindak seolah raja. Mereka sudah terlalu selesa hidup dalam keadaan yang mereka sangka aman tetapi sebenarnya sedang membunuh mereka secara perlahan-perlahan. Selain arus media perdana yang dikuasai oleh pihak musuh yang sentiasa memberikan pandangan negatif terhadap Islam dan penganutnya. Mereka sewenang-wenangnya mewartakan Islam sebagai agama pengganas atau terrorist, mengaitkan Islam dengan rasisme, menggelar orang-orang Islam sebagai konservatif dan anti-kebebasan, menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis agama dan lain-lain tuduhan yang keji. Namun berapa orang yang berani bangkit melawan?
| Google search |
Umat Islam hari ini sudah pening dan keliru. Arus-arus
pemikiran atau gagasan-gagasan yang pelbagai nama dan gelaran datang menyerang
orang-orang Islam tanpa mengenal erti belas kasihan. Umat Islam yang sudah
sedia lemah dan jauh dari berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW
kini semakin bertambah lemah dan sesat dengan hadirnya arus-arus pemikiran
sesat seperti Syiah, liberalisme, sekularisme, komunisme,
sosialisme, dan sebagainya. Agama Islam yang tulen kini sudah ditempel-tempel
dengan kotoran-kotoran ciptaan tangan-tangan manusia. Pihak musuh demi
melaksanakan misi westernization atau pembaratan telah memaksa umat
Islam menerima ideologi-ideologi sesat mereka dengan dakwaan bahawa ianya akan
memberi sinar kebahagiaan kepada mereka. Umat Islam sudah lupa bahawa Islam
yang tulen itu sahajalah yang mampu membawa mereka ke syurga nan abadi.
Bukannya Islam yang dipotong-potong atau ditempel-tempel dengan pelbagai
ideologi-ideologi lain. Apabila hal ini berterusan, lahirlah golongan-golongan
yang memperjuangkan hak-hak kebebasan manusia lebih daripada memperjuangkan
hak-hak Allah, lahirlah golongan-golongan yang menolak bulat-bulat sunnah Rasulullah SAW,
dan lahirlah golongan-golongan yang mendakwa Al-Quran kini sudah tidak relevan
dan perlu ditafsir semula mengikut peredaran zaman sepertimana yang kita dapat
lihat pada hari ini. Islam bagi mereka seolah-olah sudah menjadi seperti sebuah
bahan permainan yang boleh digodek-godek sesuka hati.
![]() |
| Kassim Ahmad, tokoh anti-hadith Malaysia dengan buku karangannya yang telah diwartakan mengandungi ajaran sesat. (Sumber : Google) |
Sungguh, melihat pada keadaan sekarang, umat Islam pada masa
kini sedang berada di ambang kekalahan dan pihak musuh sedang mengawal arus
permainan. Pihak musuh tidak akan pernah berasa bosan atau jemu untuk terus
menceroboh dan menghancurkan pemikiran orang-orang Islam, bahkan semakin rancak
dan aktif. Orang-orang Islam sedang dibantai teruk dalam peperangan ini.
Sungguh, sangat sadis dan mengerikan.
Masih Adakah Sinar Harapan?
Ketahuilah bahawa peperangan pemikiran ini masih lagi
berterusan, medan pertempuran ini masih lagi berlangsung dan sinar harapan buat
umat ini masih ada. Orang-orang Islam wajib beriman bahawa pertolongan itu pasti akan datang, kemenangan itu akhirnya pasti milik kita.
Harapan itu terletak pada tangan orang-orang Islam yang sedar akan hakikat pertembungan ini, orang-orang Islam yang nampak dan melihat segala peristiwa dan fenomena dengan cahaya Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, orang-orang Islam yang pantas jiwanya dan sedar akan tanggungjawab yang digalas di atas tengkuk-tengkuk mereka bagi memenangkan agama Allah SWT ini walau dengan apa cara sekali pun. Menang atau kalah, nasib, dan masa depan umat ini terletak dalam genggaman tangan-tangan mereka.
(قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ)
[سورة اﻷعراف 128]
"Musa berkata kepada kaumnya: 'Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa'."
Harapan itu terletak pada tangan orang-orang Islam yang sedar akan hakikat pertembungan ini, orang-orang Islam yang nampak dan melihat segala peristiwa dan fenomena dengan cahaya Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, orang-orang Islam yang pantas jiwanya dan sedar akan tanggungjawab yang digalas di atas tengkuk-tengkuk mereka bagi memenangkan agama Allah SWT ini walau dengan apa cara sekali pun. Menang atau kalah, nasib, dan masa depan umat ini terletak dalam genggaman tangan-tangan mereka.
Persoalannya, apakah kita telah memposisikan diri kita dalam
barisan tentera yang terdiri daripada mereka yang sedar akan hakikat ini, atau
kita terus statik, pegun, dan membiarkan diri kita dan umat ini terus hanyut dibawa
arus jahiliyyah yang menggila?
RUSYAIDI PAUZI
Julai 2015 (Kemaskini Mei 2016)
Kaherah
RUSYAIDI PAUZI
Julai 2015 (Kemaskini Mei 2016)
Kaherah




No comments:
Post a Comment