Monday, 6 July 2015

Mereka Yang Celaka Menjelang Ramadhan

Ramadhan : Festival Ketaatan Karnival Keampunan

Cairo, 2015

(شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ) [سورة البقرة 185]

“Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada sekalian manusia,  dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang haq dan yang batil” [Al-Baqarah : 185]

Bulan Ramadhan yang datang menjenguk setiap tahun sangat signifikan dengan kelimpahan dan kemurahan kasih sayang, cinta, dan rahmat daripada Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang beriman. Dengan janji-janji hebat daripada Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang soleh dan beriman dalam bulan Ramadhan, pasti bulan Ramadhan adalah ibarat ‘durian runtuh’ bagi para muslimin yang ikhlas mahukan syurga, kasih sayang, serta cinta Allah SWT, pasti bulan Ramadhan sangat ditunggu-tunggu, dirindui, dan didambakan oleh para mukminin yang sentiasa mahu dan berlumba-lumba meraih redhaNya.

Maka tidak hairan lah apabila diceritakan bahawa para salafus soleh pada zaman awal Islam dahulu sudah berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya mereka diberikan peluang dan ruang untuk sampai kepada bulan Ramadhan seawal 6 bulan sebelum tibanya bulan yang penuh keberkatan tersebut.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، - رضى الله عنه - قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ‏"‏ ‏. (مسلم)
ah dan memperbanyak amal soleh?

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Setiap amalan anak Adam akan digandakan ganjarannya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda, Allah SWT telah berfirman, ‘Kecuali puasa, ianya adalah untukKu dan aku yang akan mengganjarinya, ianya meninggalkan syahwatnya dan makanannya demi kerana Aku, kepada orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika ianya berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada wangian kasturi’”. (Muslim)

Ya, inilah dia bulan yang penuh kasih-sayang, pengampunan, dan pelepasan daripada api neraka oleh Allah SWT. Pada bulan ini para muslimin diwajibkan berpuasa pada siangnya dan disunatkan pada malamnya untuk menunaikan ibadat khusus yang hanya ada dalam bulan ini iaitu solat Tarawih. Pada bulan ini juga kita dapat melihat orang-orang Islam rata-ratanya berlumba-lumba dan berpusu-pusu untuk membuat kebaikan dan amal soleh. Masjid yang selalunya lengang dan kosong terutamanya pada waktu subuh tiba-tiba penuh sampai ke barisan belakang, tabung masjid yang selalunya berhabuk dan berdebu tiba-tiba penuh dengan wang sumbangan dan derma, kumpulan-kumpulan lelaki dan wanita yang bertadarus Al-Quran tiba-tiba tumbuh pesat bagai ‘tumbuhnya cendawan selepas hujan’, dan orang-orang miskin yang selalu berlapar tiba-tiba dapat merasa lauk ayam yang lazat setiap hari. Lihatlah betapa ajaibnya bulan Ramadhan!


Hal ini tidak lain tidak bukan adalah kerana banyaknya kelebihan dan kebaikan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT di dalam bulan Ramadhan.  Ganjaran pahala puasa yang berlipat kali ganda dan tidak terhitung, pengampunan dosa-dosa yang telah lampau, permohonan dan doa yang tidak akan tertolak, malam yang lebih baik daripada seribu bulan, disediakan pintu yang khusus untuk memasuki syurga, pelepasan daripada api neraka... Nah, apa lagi yang kita sebagai seorang mukmin mahukan? Segala-galanya sudah Allah SWT sediakan dalam bulan yang penuh kasih-sayang ini! Sebagai seorang manusia yang beriman, pasti kita akan berlumba-lumba dan berkejar-kejar melakukan amal soleh. Sementara hari masih berbaki, sementara jasad masih mampu berdiri, wahai pencari kebaikan perbanyakkanlah amal ibadat mu!

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ‏"‏‏.‏ (البخاري)

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan penuh mengharap, maka  diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lampau”. (Al-Bukhari)

Wahai Pencari Kejahatan, hentikanlah!

Cairo, 2015

Namun malangnya, terdapat segelintir manusia yang masih belum sedar. Mereka masih belum terjaga daripada mimpi dan lena yang panjang dan mengasyikkan. Walaupun hari-hari dalam bulan Ramadhan telah berlalu berbelas-belas hari, mereka masih lalai dan lupa. Tetamu bernama Ramadhan yang menjenguk setahun sekali itu tidak dilayan dan tidak diendahkan. Hadirnya Ramadhan sama seperti ianya tidak pernah hadir. Seolah-olah tidak terlintas langsung di dalam hati sanubari mereka untuk berlumba-lumba menuju kasih serta cinta Allah dan memperbanyak amal soleh. Sungguh, mereka inilah golongan yang sangat rugi.

Sekiranya sebelum Ramadhan seseorang itu leka dan lalai daripada menunaikan ibadah seperti solat, tetapi selepas Ramadhan dia masih di dalam kelekaan dan kelalaiannya itu. Sekiranya seseorang itu lupa dan tenggelam di dalam lautan maksiat dan noda, menonton pornografi, ikhtilat yang tidak terkawal antara anak gadis dan teruna, tetapi selepas tamatnya bulan Ramadhan dia masih tenggelam dan lemas di dalam lumpur dan kotoran maksiat tersebut. Sekiranya seseorang itu leka dan tenggelam dengan budaya hedonisme melampau, menonton filem-filem dan movie yang melalaikan, permainan-permainan video seperti clash of clans dan angry birds, tetapi selepas berlalunya Ramadhan dia masih terkapai-kapai tenggelam dalam kelalaiannya. Maka golongan manusia seperti ini adalah golongan manusia yang celaka menjelang bulan Ramadhan!

Golongan yang tercela dan celaka ini ada disebut di dalam hadith Rasulullah SAW yang berbunyi ;ulan yang penuh keberkatan tersebut.tibanyahon kepada Allah SWT supaya mereka diberikan peluang dan ruang untuk sampai kepada oleh dan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏... وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ ...‏"‏ (الترمذي)

Dari Abu Hurairah RA telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda  “... dan sungguh sangat terhina dan rendah seorang lelaki yang memasuki bulan Ramadhan kemudian ianya berlalu sebelum dia diampunkan... ”. (At-Tirmidhi)
Dan juga ;

وعن أبي هريرة أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - صعد المنبر فقال: "آمين آمين آمين، فقيل: يا رسول الله! إنك صعدت المنبر فقلت: آمين آمين آمين، فقال: إن جبريل أتاني فقال: من أدرك شهر رمضان فلم يغفر له فدخل النار فأبعده الله، قل: آمين، فقلت: آمين، ومن أدرك أبويه أو أحدهما فلم يبرهما فمات فدخل النار فأبعده الله، قل: آمين، فقلت: آمين، ومن ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله، قل: آمين، فقلت: آمين" . (ابن خزيمة وابن حبان)

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW menaiki mimbar dan bersabda  : “ Amin Amin Amin,dikatakan kepada baginda : Wahai Rasulallah! Sesungguhnya engkau menaiki mimbar dan berkata : Amin amin amin, baginda bersabda : Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan berkata : Barangsiapa yang sampai kepada bulan Ramadhan tetapi dia tidak diampunkan maka dia akan memasuki neraka dan diabaikan oleh Allah, katakanlah : Amin, maka aku pun berkata : Amin...” (Ibn Khuzaimah & Ibn Hibban)

Sangat pelik dan ajaib! Di dalam bulan Ramadhan yang dipenuhi dan dilimpahi pengampunan dan kasih sayang daripada Allah SWT, namun masih ada segelintir manusia yang tidak diampunkan dosa-dosanya selepas tamatnya bulan Ramadhan.

Sangat pelik dan ajaib! Di dalam bulan Ramadhan yang telah dibuka pintu-pintu syurga seluas-luasnya, ditutup pintu-pintu neraka serapat-rapatnya, dibelenggu segala syaitan yang rakus menganggu dan menggoda, namun masih ada segelintir manusia yang tidak mampu berubah menjadi lebih baik walaupun selepas bulan Ramadhan berlalu pergi.

Sangat pelik dan ajaib! Di dalam bulan Ramadhan yang Allah SWT janjikan kelepasan daripada api neraka yang membakar pada setiap malam-malamnya, namun masih ada segelintir manusia yang masih terbiasa dengan maksiat dan dosa walaupun selepas tamat malam Ramadhan yang ke-30.

Dengan kesemua nikmat dan kebaikan yang telah disebutkan sebentar tadi, maka sekiranya seseorang itu tidak mendapat pengampunan dalam bulan Ramadhan yang dijanjikan pengampunan, maka bila lagi? Sekiranya seseorang itu tidak mendapat kasih sayang dan cinta Allah SWT dalam bulan Ramadhan, maka bila lagi? Sekiranya seseorang itu tidak mampu menahan hawa nafsu yang senantiasa bergelora dalam bulan Ramadhan, maka bila lagi? Sekiranya seseorang itu tidak mampu berubah dan membuang tabiat buruknya dalam bulan Ramadhan, maka bila lagi? Aduh, betapa rugi dan celaka mereka ini!

Ibarat seorang petani yang memilki sebuah kebun yang luas, dipenuhi pelbagai jenis pohon dan tanaman, namun apabila musim pohon dan tanamannya berbuah dengan sangat lebat, dia membiarkan buah-buahan tersebut membusuk dimakan ulat dan burung begitu sahaja tanpa memetiknya, maka bila lagi dia dapat memetiknya?

Begitulah ibaratnya seseorang yang tidak berjaya memperoleh keampunan, kasih sayang, dan cinta Allah SWT di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dengan bertaubat, meninggalkan perbuatan yang buruk, memperbanyak amalan kebaikan, berdoa, dan merayu meminta ampun kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Dia akan dicampak dan dibiarkan oleh Allah SWT di dalam neraka yang membakar dan penuh seksa.

Alangkah malang dan ruginya sekiranya bulan Ramadhan yang mulia dan penuh berkat ini dibiarkan berlalu pergi tanpa kita mendapat sebarang faedah dan manfaat daripadanya. Bahkan kita mendapat pula kecelakaan dan kehinaan. Sedangkan Allah SWT telah menyediakan ganjaran-ganjaran yang melimpah ruah di dalamnya. Alangkah ruginya!

Manfaatkan Hari dan Malam Ramadhan Yang Masih Berbaki

Cairo, 2015

Jadi ayuhlah pembaca sekalian, kita memanfaatkan hari-hari dan malam-malam di dalam bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Penuhkan setiap detik dan saat yang berlalu di dalam bulan penuh keberkatan ini dengan Al-Quran, zikir, dan istighfar. Jauhkan diri daripada segala jenis maksiat dan dosa yang seringkali menghantui benak fikiran kita. Jangan kita biarkan Ramadhan kali ini berlalu dengan sia-sia. Kerana Ramadhan seterusnya belum tentu lagi milik kita.

Masih belum terlambat andai hari-hari dalam bulan Ramadhan yang mulia ini hanya berbaki sepuluh hari atau lima hari bahkan satu hari sekalipun, tidak mengapa. Jangan sesekali berputus asa daripada kasih sayang dan rahmat Allah SWT, selagi bumi masih berputar pada orbitnya dan matahari masih mula memancarkan sinarnya daripada arah timur, maka harapan untuk kita, pendosa dan pemaksiat masih ada! Terbentang luas!

Bukankah Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ. وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ ‏"‏ (الترمذي)

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : “Apabila tiba malam pertama pada bulan Ramadhan, dibelenggu syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas, dan ditutup pintu-pintu neraka dan tidak dibuka walaupun satu pintu. Dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu, dan seorang pemanggil memanggil, ‘Wahai pencari kebaikan, kemarilah!’ dan ‘Wahai pencari kejahatan, hentikanlah!’, dan di sisi Allah ada mereka yang mendapat kelepasan daripada api neraka, dan ianya adalah pada setiap malam”. (At-Tirmidhi)

“...Dan ianya adalah pada setiap malam...”

Setiap malam-malam pada bulan Ramadhan yang berlalu pasti akan ada segerombolan manusia yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi mendapat kelepasan daripada api neraka. Apakah yang lebih baik daripada itu?

Maka oleh itu marilah kita berusaha dan berlumba-lumba supaya kita tergolong dalam kalangan mereka yang dijanjikan kelepasan daripada api neraka tersebut. Masih belum terlambat. Manfaatkan hari-hari yang masih berbaki. Ayuhlah kita muhasabah, bertaubat dengan sebenar-benar taubat, dan kembali kepada pangkuan Allah SWT. Penuhkan malam-malam yang masih berbaki ini dengan linangan air mata dan esak tangisan. Janganlah kita masih membiarkan diri kita terus lalai dan leka dengan hiburan dunia yang sementara. Jadikan Ramadhan ini sebagai titik perubahan.

Marilah kita menyahut dengan penuh bergaya seruan pintu syurga yang memanggil-manggil bakal penghuninya, “Wahai pencari kebaikan, kemarilah!”. Agar di sana nanti kita tidak ada sebarang penyesalan dan tidak akan menghadapi sebarang kecelakaan, agar di sana nanti kita mampu untuk berlari-lari dengan penuh gembira dan senyuman untuk memasuki pintu syurga Ar-Rayyan.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ، - رضى الله عنه - قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَدْخُلُونَ مِنْهُ فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ ‏"‏ ‏.‏ (مسلم)

Dari Sahl Bin Saad RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan, orang-orang yang berpuasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat, tidak masuk bersama mereka seorang pun selain daripada mereka, dikatakan, ‘Di mana orang-orang yang berpuasa?’, maka mereka pun memasuki syurga melaluinya dan apabila orang yang terakhir dalam kalangan mereka telah masuk maka pintu itu ditutup dan seorang pun tidak boleh memasukinya”.

Rujukan :

1. Al-Quran Al-Karim
2. Sahih Al-Bukhari
3. Sahih Muslim
4. Sunan Ibn Majah
5. Jami’ At-Tirmidhi
6. Sahih Ibn Khuzaimah
7. Sahih Ibn Hibban 
8. Ramadhaniyat Min Al-Kitab Wa As-Sunnah, Sheikh Atiyyah Mohammed Saleem

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...