Sunday, 19 April 2015

Kesepakatan Tunjang Kekuatan Ummah (Bahagian 1)

Pertumpahan Darah Di Kota Yathrib

Hari Bu’ath (يوم البعاث) , 5 tahun sebelum Hijrah : Sekali lagi, sebuah peperangan tercetus. Kali ini lebih dahsyat. Bahkan dikatakan sebagai peperangan yang paling dahsyat dalam sejarah kota Yathrib. Terlalu banyak jiwa terkorban dari kedua-dua belah pihak, Aus dan Khazraj. Peperangan kali ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada suku Aus.

Begitulah. Suku Aus dan Khazraj adalah dua suku yang menjadi majoriti di kota Yathrib. Namun begitu, sejak lebih seratus tahun lagi, api-api peperangan sering tercetus antara kedua-dua belah pihak. Kadang-kadang hanya disebabkan sesuatu perkara yang remeh, pertumpahan darah berlaku. Seolah-olah peperangan sudah menjadi sebati dalam jiwa-jiwa mereka. Seolah-olah pertumpahan darah sudah menjadi darah dan daging dalam jasad-jasad mereka. Ironinya, sejarah membuktikan mereka pada asalnya adalah daripada nasab keturunan atau susur galur yang sama, mereka pada asalnya adalah satu keluarga.

Siri-siri peperangan dan pertumpahan darah yang tercetus antara kedua-dua belah suku Aus dan Khazraj menyebabkan perasaan dengki dan benci antara mereka semakin membuak-buak. Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku dalam kalangan mereka menyebabkan perasaan dendam kesumat antara mereka semakin menebal. Mana tidaknya, konflik-konflik yang berlaku bukannya berlaku dalam tempoh setahun atau dua, tetapi sejak lebih seratus tahun! Mereka mewarisi persengketaan ini daripada ayah-ayah dan datuk-datuk mereka!

Lebih memburukkan keadaan, orang-orang Yahudi yang tinggal menumpang di luar dan dalam kota Yathrib melihat konflik-konflik yang berlaku antara suku Aus dan Khazraj yang berlanjutan ini sebagai satu peluang bagi mereka untuk mengukuhkan kedudukan politik dan ekonomi mereka di tanah Yathrib yang subur. Mereka mengadakan pelbagai perjanjian-perjanjian palsu dengan kedua-dua belah pihak yang tujuan utamanya adalah bagi melaga-lagakan lagi kedua suku Aus dan Khazraj. Mereka menuangkan lagi minyak ke atas api yang sedang membara dan membakar. Sungguh, mereka ini adalah ibarat api dalam sekam, musuh dalam selimut, dan gunting dalam lipatan.


Namun begitu, takdir atau ketentuan Allah mengatasi segalanya. Akhirnya Allah mengutuskan kepada kedua-dua belah pihak seorang lelaki mulia daripada keturunan Quraish yang datang dari kota suci Mekah, Rasulullah SAW, Muhammad Bin Abdullah sebagai seorang pendamai antara kedua-duanya.

Dengan kebijaksanaan baginda, api-api kebencian di antara suku Aus dan Khazraj terpadam. Dengan kelembutan dan keikhlasan baginda, penyakit-penyakit dendam dan dengki yang telah sekian lama bersarang dalam hati-hati kedua suku Aus dan Khazraj terhapus.

Akhirnya Aus dan Khazraj bersatu hati dan suara di atas nama agama yang satu iaitu Islam. Akhirnya Aus dan Khazraj bersepakat bagi membina sebuah empayar Islam di kota Yathrib. Kedua-duanya mengangkat tangan berbaiah dan berjanji setia kepada Rasulullah SAW di sebuah kawasan bukit terpencil yang bernama Aqabah. Hati-hati mereka mula bertaut, setelah sekian lama dipisahkan dengan jurang hasad dan dengki yang amat dalam. Perasaan kasih dan sayang mula berputik, menggantikan perasaan benci dan dendam kesumat yang telah basi dan mereput. Sebuah sejarah baru yang gemilang antara suku Aus dan Khazraj bermula, Allah SWT kemudiannya memuliakan dan memberikan mereka nama atau gelaran yang baru, merekalah golongan Al-Ansar.

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا
الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٠٠﴾ [التوبة]

Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (At-Taubah : 100)

Sepakat Membawa Berkat

Credit : Google

Kita kembali mengalihkan fokus dan perhatian kita kepada realiti keadaan yang berlaku pada masa kini khususnya di negara kita yang tercinta, Malaysia. Kesatuan dan kesepakatan umat Islam kini semakin membimbangkan. Umat Islam di Malaysia ada yang tidak memandang kesepakatan antara orang-orang Islam sebagai suatu perkara yang penting dan perlu dipandang serius.

Ketahuilah dan percayalah bahawa tiada kekuatan yang yang dapat dicapai oleh umat Islam melainkan dengan kesatuan dan kesepakatan.  Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran :

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾ [الأنفال]

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal : 46)

As-Syahid Syed Qutb telah menukilkan dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran berkenaan ayat ini bahawa sifat tidak berbantah-bantah dalam satu-satu perjuangan adalah salah satu faktor kemenangan yang hakiki. Daripada sini, dapat kita fahami bahawa bersepakat atau bersatu dalam memperjuangkan satu-satu perjuangan merupakan salah satu syarat bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan tersebut.

Sekiranya berlaku perbantahan dan persengketaan dalam barisan tentera umat Islam, maka serta merta kekuatan dan kekuasaan umat Islam akan mula goyah dan runtuh sedikit demi sedikit. Seterusnya, sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan dan tidak dirawat, dikhuatiri akan membawa kepada kekalahan dan kehinaan ke atas seluruh umat Islam.

Kekuatan Pertama : Kekuatan Kesatuan

Selain itu, Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna telah berkata dalam himpunan risalah-risalahnya :

"...والأخوة أخت الإيمان ، والتفرق أخو الكفر ، وأول القوة : قوة الوحدة ، ولا وحدة بغير حب , وأقل الحب: سلامة الصدر , وأعلاه : مرتبة الإيثار..."

“... Dan persaudaraan itu adalah saudara kepada iman, perpecahan pula adalah saudara kepada kufur, dan kekuatan yang pertama : Kekuatan kesatuan, dan tidak ada kesatuan tanpa cinta, dan serendah-rendah cinta adalah : Berlapang dada, dan yang tertinggi : Martabat Ithar...”

Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna telah menyatakan secara jelas bahawa kekuatan umat Islam yang pertama sekali adalah kekuatan kesatuan atau kesepakatan. Kemudiannya As-Syahid menyatakan pula bahawa tiada kesatuan tanpa cinta.

Sangat benar apa yang diperkatakan oleh As-Syahid. Lihat sahaja kepada lembaran sejarah silam. Kita lihat semula peristiwa yang berlaku semasa peperangan Uhud, peperangan agung yang berlaku ketika bulan Syawal tahun ke-3 selepas Hijrah. Sebuah peperangan terpenting yang telah merakamkan pelbagai kisah dan peristiwa yang banyak mengajar umat ini erti sebenar pengorbanan dan cinta dalam perjuangan.

Kisah Di Medan Uhud : Pasukan Pemanah

Cairo, 2014

Di atas medan peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah membentuk satu pasukan pemanah yang diposisikan di bukit Uhud, mereka bertanggungjawab menjadi benteng pertahanan terpenting dalam barisan tentera Islam. Pasukan ini terdiri daripada lebih kurang 50 orang lelaki. Rasulullah telah mengeluarkan arahan kepada mereka supaya tidak berganjak daripada bukit Uhud walau apa pun yang terjadi, sama ada menang ataupun kalah. Ternyata strategi peperangan Rasulullah SAW ini berhasil apabila ketumbukan tentera musuh yang diketuai oleh Khalid Al-Walid ketika itu menemui kegagalan apabila mahu menggempur barisan tentera Islam dari arah belakang. 3 kali percubaan dilakukan namun kesemuanya digagalkan dengan hujanan anak-anak panah yang datang menjunam dari bukit Uhud.

Cahaya kemenangan  semakin menyebelahi tentera Islam, tentera musyrikin semakin kalut dan kacau, keyakinan dan keupayaan mereka sudah luntur dan hancur. Pedang-pedang tentera Islam semakin galak menebas batang-batang tengkuk tentera kafir Quraish. Majoriti tentera musuh sudah lari lintang-pukang meninggalkan senjata, perisai, dan haiwan tunggangan mereka di belakang. Mereka mahu selamatkan nyawa mereka. Tentera-tentera Islam yang berada di medan peperangan utama sudah ada yang mula mengutip dan menawan harta-harta rampasan perang dengan girangnya.

Melihat keadaan ini, sebahagian pasukan pemanah yang berada di atas bukit Uhud berasa geram dan cemburu melihat kawan-kawan mereka sedang mengutip harta-harta rampasan perang tinggalan tentera musyrikin. Perasaan tamak dan cintakan dunia mula menguasai dan membuak-buak dalam jiwa sanubari mereka. Syaitan laknat mula membisik-bisik dan menghasut di telinga-telinga mereka.

Perpecahan Yang Pasti Merosakkan

“Harta rampasan! Harta rampasan! Kawan-kawan kamu telah berjaya, apa yang kamu tunggu lagi!?”

Salah seorang daripada mereka menjerit. Seolah-olah lupa dengan arahan ketua turus angkatan perang tentera Islam, Rasulullah SAW supaya tidak meninggalkan bukit Uhud. Dalam pada itu, ketua pasukan pemanah, Abdullah Bin Jubair RA mengingatkan mereka supaya tidak turun meninggalkan bukit Uhud walau apa pun yang terjadi.

“Adakah kamu lupa akan apa yang Rasulullah SAW kata kepada kamu?”

Namun ibarat mencurah air ke daun keladi, lebih 40 orang daripada pasukan pemanah itu tidak menghiraukan peringatan daripada Abdullah Bin Jubair RA, perasaan cinta mereka kepada harta rampasan perang yang semakin membuak-buak itu mesti dilunaskan, mereka turun daripada bukit Uhud dan menyertai sahabat-sahabat yang lain mengutip harta rampasan perang.

“Demi Allah, kami pasti akan datang kepada sahabat-sahabat kami yang lain dan mengutip harta rampasan perang”.

Kini hanya tinggal Abdullah Bin Jubair RA dan sembilan atau kurang daripada sembilan orang yang masih kekal setia menunggu di atas Bukit Uhud, mereka enggan mengingkari arahan Rasulullah SAW kepada mereka agar tidak turun meninggalkan kawasan tersebut walau apa pun yang terjadi. Mereka masih setia menunggu arahan seterusnya daripada ketua turus angkatan perang tentera Islam, Rasulullah SAW. Tanpa mereka sedari, benteng pertahanan barisan belakang tentera Islam sudah lompong dan kian runtuh. Tanpa mereka sedari, pasukan pemanah yang ditempatkan Rasulullah di atas bukit Uhud sudak berpecah kepada dua kumpulan kecil, mereka sudah tidak bersatu, mereka sudah hilang kata sepakat, mereka sudah hilang kekuatan.

Melihat keadaan ini, Khalid Al-Walid yang ketika itu merupakan antara panglima tentera Quraish mula merangka strategi baru bagi mengawal arus permainan di atas medan peperangan Uhud. Beliau melihat perpecahan dan kelalaian tentera Islam khususnya pasukan pemanah yang sejak tadi menggagalkan siri-siri pennggempurannya sebagai satu peluang keemasan bagi menghancurkan pertahanan tentera Islam. Khalid Al-Walid bersama pasukannya berpatah balik dari belakang bukit Uhud bagi menguasai barisan belakang tentera Islam. Kali ini tiada hujanan anak panah menghujam mereka dari atas bukit Uhud. Bahkan pasukan Khalid Al-Walid berjaya membunuh ketua pasukan pemanah, Abdullah Bin Jubair RA dan anggota-anggota pasukan pemanah yang lain.

Arus permainan mula berubah. Tentera musyrikin mula mendominasi. Tentera musyrikin lain yang tadinya lari ketakutan mula berpatah balik ke medan peperangan bagi menggempur barisan hadapan tentera Islam. Tentera Islam sudah terkepung dan tersepit dari arah hadapan dan belakang!

Nah, lihatlah.

Semuanya berpunca daripada perpecahan dan ketidaksepakatan yang berlaku dalam satu pasukan kecil sahaja daripada pasukan-pasukan tentera Islam. Pasukan pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di atas bukit Uhud tersebut terdiri daripada hanya lebih kurang 50 orang, bilangan itu tidak sampai 8% pun daripada bilangan keseluruhan tentera Islam yang terdiri daripada lebih kurang 700 orang. Namun, kesan daripada perpecahan dan ketidaksepakatan tersebut amat besar sehingga mempengaruhi keseluruhan barisan tentera Islam ketika itu.

Sungguh, perpecahan dan perbalahan tidak akan menatijahkan apa-apa hasil melainkan kesan yang buruk dan merosakkan. Ketidaksepakatan hanya akan membuahkan kerugian dan kehilangan yang nyata.

[Baca (Bahagian 2) di sini]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...