Tuesday, 30 December 2014

Sebuah Nasihat

Agama Itu Nasihat


Cairo, 2014

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ 
النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ" .

(( رواه المسلم ))

Dari Abi Ruqayyah Tamim Bin Aus Ad-Dari bahawa Nabi SAW berkata : "Agama itu nasihat. Kami berkata : Untuk siapa? Nabi SAW berkata : Untuk Allah, kitabNya, Rasulnya, para pemimpin muslimin dan 
(seluruh muslimin". (Riwayat Muslim

Hadis ini merupakan satu hadis yang sangat hebat dan mendalam maknanya. Nabi junjungan telah merangkumkan seluruh maksud agama ini dalam satu pengibaratan, iaitu nasihat. Nabi junjungan bersabda "Agama itu nasihat", baginda yang mulia telah menjadikan agama ini, iaitu Islam sebagai nasihat. Hal yang demikian menunjukkan keagungan, kehebatan, dan ketinggian kedudukan nasihat dalam agama kita yang lurus.

Nasihat itu bukan sahaja daripada agama, bahkan ianya adalah tugas yang dipikulkan ke atas bahu-bahu para Rasul yang mulia. Mereka telah diutuskan oleh Allah SWT ke atas muka bumi ini lalu bertebaran menyebarkan risalah Tuhannya kepada golongan manusia, menyebarkan kasih dan cinta Tuhannya kepada mereka, memberi nasihat-nasihat yang baik serta amaran-amaran yang keras dari Tuhannya tentang azab-azab yang bakal jatuh menimpa mereka sekiranya mereka berterusan ingkar dan sombong. Dengan itu Nabi Nuh AS telah keluar bertemu kaumnya lalu berkata :

{ أُبَلِّغُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي وَأَنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أَمِين } ( الأعراف : 62 ) .

{ Aku sampaikan kepada kamu semua
risalah-risalah Tuhanku, dan aku adalah penasihat yang jujur kepada kamu } (Al-A'Raf : 62) .

Dengan itu juga Nabi Salih AS telah berkata selepas kaumnya dihancurkan oleh Allah lalu menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan dalam rumah-rumah mereka sendiri akibat keingkaran mereka kepada risalah Allah dan nasihat nabi mereka :

 { فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَٰكِنْ لَا تُحِبُّونَ النَّاصِحِين } ( الأعراف : 79 ) .

{ Maka Nabi Salih pun berpaling daripada mereka dan berkata, "Wahai kaumku, sungguh aku telah sampaikan kepada kamu semua risalah Tuhanku dan aku telah menasihati kamu tetapi kamu tidak
menyukai para penasihat" } (Al-A'Raf : 79)

Nasihat kepada seluruh muslimin?



Pembaca sekalian,

Para ulama telah mentafsirkan dalam hadis ini bahawa nasihat kepada seluruh muslimin itu adalah dengan seorang muslim itu mencintai untuk mereka dengan apa yang dicintai untuk dirinya, membenci untuk mereka dengan apa yang dibenci untuk dirinya, berserta perasaan kasihan dan simpati terhadap mereka.

Kemudian dengan perasaan-perasaan tersebut beliau membimbing mereka kepada apa yang sepatutnya dalam kehidupan dunia dan akhirat mereka, kemudian menunjukkan kepada mereka jalan kepada kebenaran sekiranya mereka tersasar daripadanya, mengingatkan mereka tentangnya apabila mereka terlupa atau lalai, sambil berpegang teguh dengan sifat lemah-lembut kepada mereka. Dengan ini akan tercapailah kesatuan orang-orang Islam.

Analogi mudah, semua orang suka makan bukan? Andaikata kita menjumpai sebuah restoran yang menyajikan makanan yang rasanya tersangatlah lazat dan menyelerakan, ditambah pula harganya yang murah dan sangat berpatutan. Pasti kita akan jatuh cinta dengan restoran tersebut dan mahu datang lagi di lain hari. Kemudian akan timbul persoalan dalam benak hati, "Alangkah baiknya kalau member-member aku pun tahu tempat ni. Mesti best". Dengan itu, kita pun terus berusaha memberitahu kawan-kawan kita yang lain tentang kewujudan restoran tersebut sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas, post status di Facebook, berkicau di Twitter, post gambar di Instagram, menghebahkan di group-group Whatsapp, Telegram, Wechat dan lain-lain media.

Begitulah, iman dan kefahaman dalam beragama yang kita miliki bukannya untuk simpanan diri kita sendiri, bukannya hak eksklusif yang kita seorang sahaja menguasai.

Dalam sebuah hadis, Nabi junjungan ada menyebut :

عن أنس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ “لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه‏"‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.

Dari Anas RA bahawa Nabi SAW telah berkata : "Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya dengan apa yang dicintai untuk dirinya sendiri" (Muttafaqun Alaih).

Jadi, banyakkan memberi nasihat dan bimbingan yang baik kepada saudaramu agar mereka juga dapat menikmati kebaikan yang kamu sedang miliki.

Kerana Manusia Itu Sering Alpa

Dalam mengharungi arus kehidupan di atas muka bumi ini, tidak boleh tidak kita pasti akan bertemu dengan pelbagai ragam dan kerenah manusia.

Kerana manusia itu sering alpa, kita melihat di sana ada satu golongan manusia yang terlalu sibuk dengan urusan dunianya. Terus-menerus bekerja keras dan pulun tenaga untuk mengumpulkan harta yang tidak pernah dirasakan cukup. Apabila penuh satu lembah diisi dengan emas, dikorek lembah yang kedua untuk diisi. Sehingga segala tanggungjawab yang lain terabai. Keluarga, masyarakat, Tuhan, semuanya diabaikan. Semuanya kerana sudah dirasuk dengan arus fikiran materialisme, semuanya kerana harta dan wang.

Kerana manusia itu sering alpa, kita melihat di sana ada satu golongan manusia yang terlalu leka dibuai hawa nafsu. Mereka hanyut, hanyut dalam lautan maksiat dan dosa. Dibelakang mereka sekumpulan syaitan sedang gelak berdekah-dekah. Gembira. Godaan mereka berjaya, perangkap mereka mengena. Syaitan menghiasi amalan dosa mereka dengan pelbagai perhiasan agar ianya nampak cantik dan elok. Syaitan menutup amalan dosa mereka dengan selimut tebal agar bau busuknya tidak terhidu. Supaya mereka terus hanyut, hanyut sampai ke muara neraka bersama syaitan-syaitan laknat.

Kerana manusia itu sering alpa, kita melihat di sana ada satu golongan manusia berbicara mengenai agama-agama, ideologi-ideologi dan fahaman-fahaman yang sesat dan menyeleweng. Tuhan yang satu-satunya layak disembah dijadikan dua, tiga, dan berpuluh-puluh, bahkan beratus. Lebih sadis lagi ada yang langsung menolak kewujudan tuhan. Gila. Ada pula yang mengaku menganut agama Islam, tetapi bila berbicara tentang Islam, bercampur-baur. Islam yang tulen itu telah ditempel-tempel dengan parasit-parasit perosak. Katanya mengikut kesesuaian zaman. Celaru.

Di manakah pengakhirannya semua ini? Atau soalan yang lebih layak dilontarkan, di manakah permulaannya? Apa sebab terjadinya segala kekalutan ini?

Pembaca yang disayangi,

Mencela dan menuduh mana-mana pihak sebagai penyebab atau faktor penularan budaya maksiat dan jahiliyah dalam kalangan masyarakat kini adalah suatu perkara yang sia-sia dan tiada faedah. Kerana sudah jelas dan terang, bahawa tugas mengislah atau membaiki masyarakat ini terbeban di atas pundak ummat Islam, terbeban di atas bahu-bahu kita!

﴿ كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ﴾ [آل عمران: 110].

{ Kamu semua adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran, dan beriman kepada Allah } [Ali Imran : 110].

Kitalah ummat itu yang Allah utuskan untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Berapa banyak maksiat yang berada di sekeliling kita sekarang namun kita biarkan? Berapa banyak jahiliyyah yang lalu berjalan dan melepasi kiri dan kanan kita tanpa kita buat apa-apa? Semasa kita sedang berjalan di pasar-pasar dan shopping mall, semasa kita sedang berada di dalam bas menuju ke kolej atau universiti, bahkan semasa kita sedang berada di alam maya, di newsfeed Facebook kita misalnya.

Biarkan...

Berapa banyak yang kita biarkan? Yang kita tidak hiraukan dan ambil peduli? Yang kita tidak ambil endah? Tanpa terlintas pun dalam lubuk sanubari kita untuk mencegahnya? Tanpa terlintas pun untuk memberi satu nasihat atau dua?

Malang dan malang sekali, budaya tanasuh, iaitu saling memberi nasihat sesama muslim itu kian luntur. Semakin hilang. Ummat islam kini ramai yang menganggap remeh amalan tanasuh ini, khususnya dalam perkara-perkara yang melibatkan hal-hal akhirat mereka. Sedangkan ummat ini sedang sakit, sedangkan ummat ini sedang lalai, sedang lupa, alpa!

Ramai di antara kita yang sudah hanyut, sudah tenggelam, bahkan ada yang sudah lemas. Tetapi sungguh sadis sekali, amat sedikit bilangan mereka yang sedar dan sanggup mencapai dan menarik tangan-tangan mereka kembali ke atas jalan yang lurus. Amat sedikit.

Memberi Nasihat Itu Wajib

Ketahuilah sahabat sekalian bahawa hukum memberi nasihat itu adalah wajib ke atas setiap muslim, wajib walaupun ianya tidak dipinta. Kerana ia termasuk di dalam konteks mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: "مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ" . [رَوَاهُ مُسْلِمٌ].

Dari Abi Said Al-Khudri RA berkata aku mendengar Rasulullah SAW berkata : " Barangsiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman". (Riwayat Muslim).

Nah, adakah kita telah mencegah segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita? Yang kita nampak dan tahu dengan mata kepala kita khususnya. Ada? Dengan tangan? dengan lidah? dengan hati?  Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tidak ada, walaupun dengan hati, maka bertaubatlah, dan semak semula iman kita.

Selemah-Lemah Iman

Jangan sesekali kita berasa selesa sekiranya kita menjawab bahawa kita telah mencegahnya dengan hati. Kerana mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman bak kata Nabi junjungan SAW. Kesemua maksiat yang kita nampak, semuanya kita dakwa kita telah mencegahnya dengan hati. Cukuplah macam itu.

Awas. Sampai bila kita mahu meletakkan diri kita pada taraf selemah-lemah iman? Itu adalah satu kondisi yang teramat bahaya. Ibarat kita sedang berpijak di atas pinggir lembah yang curam dan dalam dengan hanya sebelah kaki. Ibarat telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh tergelincir lalu tergolek.

Seorang mukmin yang sejati seharusnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan dan memelihara imannya pada setiap masa. Dia tidak akan sesekali membiarkan imannya itu jatuh dan lemah, sekiranya jatuh pasti dia akan bangkit semula dengan pantas. Kerana dia sedar bahawa imannya itu sangat bernilai, imannya itulah benteng yang akan memeliharanya daripada jatuh hanyut dek godaan syaitan, imannya itulah yang akan dinilai di hadapan Allah pada hari akhirat kelak, iaitu pada hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah SWT yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda :

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏ "‏ المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف وفي كل خير‏..." (رواه المسلم).

Dari Abi Hurairah RA berkata : Telah berkata Rasulullah SAW : "Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan kedua-duanya baik..." (Riwayat Muslim).

Oleh itu, peliharalah iman, tingkatkanlah dan senantiasalah upgrade-kan ia ke peringkat yang tertinggi dan terkuat, agar Allah mengganjarinya juga dengan balasan dan cinta yang tertinggi.

Tunaikan Hak Saudara Kamu

Selain itu, memberi nasihat itu adalah salah satu hak yang wajib dilaksanakan oleh seorang muslim kepada seorang muslim yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ ‏"‏ ‏.‏ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ ‏"‏ ‏. (رواه مسلم)

Dari Abi Hurairah, bahawa Rasulullah SAW berkata : "Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam. Dikatakan : Apakah ianya wahai Rasulullah? Baginda berkata : Apabila kamu berjumpa dengannya maka berikan salam padanya, apabila dia menjemput kamu maka sambutlah, apabila dia meminta nasihat dari kamu maka nasihatlah untuknya, apabila dia bersin dan mengucapkan syukur pada Allah maka tashmitkannya (berkata yarhamukallah : Semoga Allah merahmati kamu), apabila dia sakit maka ziarahilah dia, dan apabila dia mati iringilah dia" (Riwayat Muslim).

Lemparkan perhatian kepada kata-kata Rasulullah yang mulia,

"...وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ له..."

"...apabila dia meminta nasihat dari kamu maka nasihatlah untuknya..."

Lihatlah, memberi nasihat itu adalah hak yang wajib ditunaikan kepada saudara kita.
Sudahkah kita tunaikan hak mereka?

قال الحسن البصري : " إنك لن تبلغ حق نصيحتك لأخيك حتى تأمره بما يعجز عنه".

Hassan Al-Basri berkata : "Sesungguhnya kamu tidak akan mencapai hak nasihat kamu kepada saudara kamu sehinggalah kamu menyuruhnya dengan apa yang dia tidak terdaya melakukannya".

Berikan nasihat kepada saudara kamu dalam setiap perkara, hal-ehwal dunianya dan akhiratnya. Sehingga seakan-akan tiada lagi perkara yang perlu dinasihatkan kepadanya.

Jangan kerana keculasan dan kecuaian kita dalam memberi nasihat kepada saudara kita yang memerlukan bimbingan dan panduan, saudara kita yang lupa, saudara kita yang alpa dan lalai, jangan kerana keculasan kita, mereka mendakwa kita pada hari pembalasan kelak, di dalam mahkamah Allah yang agung bahawa kita tidak pernah menunjukkan pada mereka jalan yang sebenar dan selamat.

"Wahai Allah, aku dicampakkan kedalam neraka ini kerana dia! Dia tidak pernah menasihati aku supaya taat kepadaMu!"

Semoga kita semua terlindung dari fitnah tersebut.

Sekurang-kurangnya apabila kita telah memberi nasihat dan peringatan, kita sudah punya alasan bagi membebaskan diri kita dari dakwaan yang dahsyat tersebut.

Berikanlah nasihat dan peringatan, kerana ianya pasti akan memberi manfaat yang besar dan lumayan, kepada diri kita juga kepada saudara kita yang dinasihati. Allah telah berfirman :

﴿ وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِين ﴾ [الذاريات: 55]

{ Dan berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang mukmin } (Az-Zaariyat : 55)

Perlukan Pertolongan Cemas!


Credit : Google


Seperti mana yang kita telah saksikan, ummat kini sudah nazak. Sudah kritikal. Lihatlah kepada keadaan sekeliling kamu... Lihatlah kepada masyarakat kamu!

Keruntuhan akhlak dalam kalangan muda-mudi, wanita-wanita mendedahkan aurat, lelaki-lelaki yang kononnya macho sedang menghisap rokok dan shisha, anak-anak gadis tanpa segan silu menggedik dengan pemuda ajnabi, pemuda-pemuda pula sibuk mengurat gadis-gadis yang seakan-akan rela diurat, zina berleluasa, bayi-bayi yang baru dilahirkan dicampak ke longkang, ke dalam semak, dipam ke dalam lubang jamban, jenayah di sana-sini, belum tengok lagi jenayah-jenayah yang dilakukan oleh golongan berkolar biru, golongan pemerintah, riba, rasuah, dan sebagainya... Perkara-perkara dosa dan maksiat sudah dianggap seperti perkara biasa, macam tak ada apa-apa.

Kasihan, kasihan, kasihan...

Mereka perlukan pertolongan.

وعنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ “انصر أخاك ظالمًا أو مظلومًا” فقال رجل‏:‏ يا رسول الله أنصره إذا كان مظلومًا أرأيت إن كان ظالمًا كيف أنصره‏؟‏ قال‏:‏ ‏"‏تحجزه -أو تمنعه- من الظلم فإن ذلك
نصره” ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏

Dan darinya (Anas RA) : Rasullullah SAW telah berkata : "Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi. Berkata seorang lelaki : Wahai Rasullullah, aku tolongnya sekiranya dia seorang yang dizalimi, apa pandangan kamu sekirannya dia seorang yang zalim, bagaimana aku menolongnya? Rasulullah berkata : Kamu menghalangnya - atau melarangnya - daripada kezaliman maka itu pertolongan untuknya" (Riwayat Bukhari).

Lihatlah, saudara-saudara kita yang sedang hanyut dibuai hawa nafsu tersebut, sebenarnya mereka sedang dizalimi... dizalimi oleh dirinya sendiri! Mereka zalim dan menzalimi!

Siapa lagi yang patut selamatkan mereka? Adakah kita hanya melihat?

Tidak boleh tidak kita lah yang wajib memberikan mereka pertolongan, kita lah yang wajib memberikan kepada mereka rawatan awal (baca : First aid), kita lah yang wajib mencampakkan kepada mereka pelampung keselamatan agar mereka mampu berpaut dan terus bertahan. Kerana mengubah kemungkaran itu wajib. Kerana menyuruh kepada kebaikan itu wajib. Kerana mencegah dari kemungkaran itu wajib. Kerana memberi nasihat itu wajib. Kalau bukan kita siapa lagi?

﴿ وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴾ [آل عمران: 104]

{ Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada kebaikan, dan mencegah daripada yang mungkar, dan merekalah golongan yang berjaya } [Ali Imran : 104].

Kau Adalah Cermin




عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ‏:‏ الْمُؤْمِنُ مَرْآةُ أَخِيهِ، إِذَا رَأَى
 فِيهَا عَيْبًا أَصْلَحَهُ‏.

Dari Abu Hurairah berkata : "Seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya, apabila dia nampak suatu aib padanya, dia akan membaikinya" (Hadis Hasan Al-Albani).

Sahabat pembaca yang disayangi,

Tipu siapa yang tak pernah melihat cermin. Kadangkala ada orang yang sangat pantang melihat cermin, apabila lalu sahaja di sebelah cermin beliau akan berhenti kira-kira 3 minit untuk membetulkan rambut atau tudung yang tidak berkedut,  kalau ada lapan buah cermin kesemua lapan buah cermin tersebut beliau akan berhenti.

Ada juga jenis manusia yang apabila lalu sahaja di sebelah cermin beliau akan menjeling pada cermin tersebut untuk melihat kelibat bayangan dirinya sendiri lalu bermonolog, "Kacaknya makhluk Allah ini" atau "Comelnya yang dalam cermin itu!", lalu membetulkan rambut atau tudung beliau sambil tersenyum sendirian.

Begitulah kita.

Kita adalah cermin kepada saudara kita. Apabila kita nampak ada sesuatu yang tidak kena pada bayangan kita di dalam cermin, cepat-cepat kita akan membaikinya. Apabila nampak rambut kita kurang terurus, kusut, atau terkembang sedikit di tepi, cepat-cepat kita keluarkan sikat bagi merapikannya, atau sekurang-kurangnya menggunakan jari. Pun boleh. Apabila kita nampak ada kesan lebihan coklat bersebelahan mulut kita selepas makan roti bercoklat atau lain-lain manisan coklat, cepat-cepat kita keluarkan tisu bagi mengesat kesan comot coklat tersebut, ataupun terus mengeluarkan lidah bagi menjilat lebihan coklat tersebut kerana tidak suka membazir.

Sama juga.

Apabila kita melihat saudara kita (baca : bayangan kita dalam cermin) melakukan suatu perkara yang tidak sepatutnya, cepat-cepat kita membaikinya. Apabila kita melihat saudara kita hanyut ditelan gelombang dan ombak kemaksiatan, cepat-cepat kita terjun dan selamatkannya. Apabila kita melihat saudara kita semakin tenggelam dalam lumpur dosa dan noda, cepat-cepat kita capai tangannya, genggam kuat, dan menariknya keluar. Apabila kita melihat saudara kita semakin lalai dan lupa, semakin jauh dan sesat daripada jalan kebenaran, cepat-cepat kita sentap tangannya, tampar pipinya, atau ketuk kepalanya bagi menyedarkannya dari mimpi dan lena yang merosakkan.

Kerana kita tidak rela. Kerana kita cinta.

Kerana kita tidak mahu saudara seakidah kita dilempar dan dipanggang di dalam api neraka. Kerana kita tidak mahu saudara seagama kita disiat kulitnya, dipatah riukkan tulang-belulangnya, dikorek keluar isi perutnya di dalam neraka yang penuh azab dan seksa, yang dijaga oleh malaikat yang keras, kasar dan bermuka bengis dan masam sentiasa.

Ini Adalah Jihad Kita

As-Syahid Al-Imam Hasan Al-Banna ada menyebut perihal memberi nasihat ini di dalam kumpulan risalah-risalah beliau. Beliau berkata ;

"ومن الجهاد في سبيل الله أيها الحبيب : أن تأمر بالمعروف وأن تنهي عن المنكر ، وأن تنصح لله ورسوله ولكتابه ولأئمة المسلمين وعامتهم ، وأن تدعوا إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنه وما ترك قوم التناصح الا ذلوا وما أهملوا التآمر بالمعروف والتناهي عن المنكر الا خذلوا , {لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إسرائيلعَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ , كَانُوا لا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ}" (المائدة:78-79) .

"Dan daripada jihad di jalan Allah wahai kekasihku : adalah menyuruh membuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, dan memberi nasihat untuk Allah, rasulNya, kitabNya, para pemimpin muslimin dan seluruh muslimin, dan juga menyeru ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah dan peringatan yang yang baik, dan tidaklah suatu kaum itu meninggalkan amalan tanasuh (saling nasihat-menasihati) kecuali akan menjadi hina, dan amalan saling menyuruh membuat kebaikan dan saling mencegah daripada kemungkaran kecuali akan menjadi kecewa, {Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.}" (Al-Maidah : 78,79).‏

Allah SWT juga telah berfirman dalam kitabnya yang agung :

﴿ ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ﴾ [النحل: 125]

{ Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik } [An-Nahl : 125]

Memberi peringatan dan nasihat kepada manusia supaya membuat amalan kebaikan, supaya meninggalkan amalan kejahatan, supaya berubah menjadi lebih baik, supaya berhenti melakukan maksiat, supaya bertaubat kepada Allah, supaya menangis mengenangkan dosa yang lampau, semuanya adalah satu bentuk jihad di jalan Allah. Semuanya adalah jihad yang pasti akan dibalas dengan ganjaran yang sangat lumayan oleh Allah.

Setiap titik peluh yang kita keluarkan semasa mengajak manusia kepada kebaikan, setiap Joules tenaga yang kita kerahkan semasa mencegah manusia daripada kemungkaran, setiap percikan air liur yang terpercik keluar semasa kita sedang memberi nasihat kepada manusia, kesemuanya pasti akan dibalas oleh Allah dengan nikmat-nikmat yang tidak terbayang di syurga kelak. Allah pasti tidak akan sia-siakannya walaupun sedikit. Kerana ianya adalah satu bentuk jihad di jalan Allah.

Allah SWT berfirman :

﴿  إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ﴾ [الحجرات : 15]

{ Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak berasa ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta-benda dan jiwa mereka di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya) } [Al-Hujurat : 15].

وعنه قال قيل يا رسول الله‏:‏ ما يعدل الجهاد في سبيل الله‏؟‏ قال‏:‏ ‏"‏لاتستطيعونه‏"‏ فأعادوا عليه مرتين أو ثلاثًا كل ذلك يقول‏:‏ ‏"‏لاتستطيعونه‏!‏‏"‏ ثم قال‏:‏ ‏"‏مثل المجاهد في سبيل الله كمثل الصائم القائم القانت بآيات الله لا يفتر‏:‏ من صلاة ولا صيام، حتى يرجع المجاهد في سبيل الله‏"‏ ‏(‏‏(‏متفق علي))

Dan daripadanya (Abu Hurairah RA) berkata, dikatakan kepada Rasulullah SAW : "Wahai Rasullullah, apakah yang menyamai pahala jihad di jalan Allah?" Rasulullah berkata : "Kamu tidak akan mampu melakukannya", soalan itu diulang kepada baginda dua kali atau tiga kali, setiap kali ditanya baginda menjawab, "Kamu tidak akan mampu melakukannya", kemudian baginda berkata, "Permisalan kepada seorang mujahid yang berjuang di jalan Allah adalah seperti seorang yang berpuasa, berdiri untuk bersolat, membaca ayat-ayat Al-Quran tanpa berhenti : daripada solat dan puasa, sehinggalah para mujahid yang berjuang di jalan Allah itu pulang" (Muttafaqun Alaih).

Bayangkan ganjaran dan pahala yang sedang menanti mereka-mereka yang sanggup mengorbankan jiwa, harta, bahkan nyawa mereka demi berjuang dan berjihad di jalan Allah. Sanggup menahan terik panas matahari demi menyampaikan nasihat kepada manusia. Sanggup menahan sejuknya malam demi menyuruh manusia membuat kebaikan. Sanggup jimat duit dan perbelanjaan demi memastikan perbelanjaannya untuk mencegah manusia dari kemungkaran dapat ditanggung. Sungguh, sangat lumayan. Percayalah dengan janji-janji Allah, kamu tidak akan merasa rugi walau sedikit pun. Biar kita penat di sini, biar kita letih, biar kita luka berdarah, biar kita lapar sampai perut melekat ke tulang belakang, biar otak kita sibuk risau memikirkan perihal saudara kita yang hanyut, asalkan di syurga kita boleh rehat dengan penuh nikmat, tanpa sebarang kerisauan.

Kita Ibarat Bangunan


Cairo, 2014


"Buat apa aku nak ambil kisah pasal dia, bukan family aku pun!"

"Tak payah lah kau sibuk-sibuk jaga tepi kain orang, biarlah dia nak buat jahat, bukan kacau kau pun!"

"Lantak lah dia nak jadi apa, malas aku nak ambil tahu pasal dia, aku tak kenal pun siapa dia!"

Semoga Allah melindungi kita daripada kata-kata atau lintasan hati yang keji seperti ini.

Sahabat pembaca yang disayangi, mari kita teliti sebuah hadis baginda junjungan SAW yang sangat deep maksudnya :

وعن أبي موسى رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا‏"‏ وشبك بين أصابعه ‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.

Dan dari Abi Musa RA berkata : Telah berkata Rasulullah SAW " Seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain ibarat bangunan yang menguatkan antara satu sama lain" dan baginda menjalinkan antara jari-jemari baginda. (Muttafaqun Alaih)

Kita sebagai sebuah ummat, kita semua adalah seperti sebuah bangunan. Ya, sebuah bangunan. Ummat itu adalah bangunan, kita pula adalah batu-bata yang membentuk bangunan tersebut. Kita semua adalah ketulan-ketulan batu-bata yang saling menguatkan antara satu sama lain. Seperti mana yang kita maklum, sebuah bangunan yang kukuh itu mestilah terbina daripada susunan batu-bata yang juga kukuh, kuat, dan saling mencengkam antara satu sama lain. Satu sahaja kelompongan pada susunan batu-bata akan memberi kesan kepada keteguhan struktur bangunan tersebut.

Jadi, adalah amat tidak wajar sekiranya kita menggunakan alasan tidak kenal, bukan kawan kita, bukan family kita, bukan anak kita, dia tak kacau kita, dia punya pasal, dan lain-lain alasan supaya kita tidak perlu memberi nasihat, menegur, dan mencegah sekiranya kita nampak dan tahu salah seorang daripada saudara semukmin kita melakukan sebarang kesalahan sama ada sengaja atau tidak.

Cairo, 2014

Kerana kualiti setiap biji batu-bata itu sangat penting dan sangat perlu diberi perhatian. Demi memastikan bangunan yang akan dibangunkan itu benar-benar kukuh. Kita mahu setiap ketulan batu-bata yang akan digunakan untuk membina bangunan ummah ini semuanya gred A.

Tegurlah dan berilah nasihat dan peringatan yang baik, kerana kita sama-sama mahu membina sebuah bangunan ummah yang tinggi, kuat, dan kukuh. Tepis segala perasaan ego dan sifat keakuan. Semoga dengan nasihat yang kita lemparkan tersebut mampu menguatkan lagi ikatan lapisan batu-bata ummah lantas menjadikan bangunan ummah ini mampu menjulang tinggi dan mencakar langit biru dengan strukturnya yang kukuh dan mapan.

Cinta Adalah Asas

Wujudkan perasaan cinta antara kita dan saudara mukmin kita yang lain. Kerana melalui perasaan cinta ini lah akan terbit semangat tolong-menolong antara satu sama lain, semangat mahu membaiki kelemahan saudara kita, semangat ingin mencegah kemungkaran yang dilakukan saudara kita, juga semangat mahu menyuruh mereka melakukan kebaikan. Semuanya bersumber daripada perasaan cinta yang ikhlas terhadap mereka.

Rasulullah SAW yang mulia telah  bersabda :

وعن النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال ‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ‏"‏ مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم، مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى” ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.‏

Dan dari An-Nukman Bin Bashir RA berkata :  berkata Rasulullah SAW " Permisalan orang-orang mukmin di dalam perasaan saling mencintai, saling menyayangi, dan saling mengasihi mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota mengadu sakit, seluruh bahagian jasad yang lain akan saling memanggil dengan berjaga malam dan demam" (Muttafaqun Alaih).

Nah, kita semua adalah satu jasad. Apabila salah satu anggota, misalnya tangan kita terluka sahaja. Kesemua anggota badan yang lain akan turut merasa dan berkongsi kesakitan tersebut. Bukan tangan itu sahaja yang akan menggigil-gigil tahan sakitnya luka, manakala anggota yang lain boleh lena tidur dibuai mimpi indah. Bukan tangan yang terluka itu sahaja yang akan jatuh demam akibat terlampau sakitnya luka, tetapi seluruh anggota yang lain akan turut demam panas.

Begitulah kita, ummat muslimin.‏

Rasulullah SAW telah memberikan satu permisalan yang sangat agung dan tepat berkenaan perasaan saling mencintai antara orang-orang beriman. Mari kita lihat semula sejarah para sahabat dahulu. Bertitik tolak dari perasaan cinta lah golongan Ansor di Madinah sanggup mengorbankan harta mereka demi kepentingan golongan Muhajirin semasa peristiwa hijrah Rasulullah. Bertitik tolak daripada perasaan cinta lah Abu Bakar As-Siddiq sanggup membelanjakan seluruh hartanya demi keperluan perbelanjaan ummah dalam sebuah peperangan. Bertitik tolak daripada perasaan cinta lah Uthman Ibn Affan sanggup membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar bagi membeli sebuah perigi milik orang Yahudi demi kepentingan ummah ketika itu di Madinah. Bertitik tolak daripada perasaan cinta lah Ali Ibn Abi Talib sanggup mengambil risiko tidur di tempat tidur Rasulullah pada waktu malam pertama peristiwa hijrah, sedangkan risiko beliau dibunuh oleh orang-orang kafir adalah amat tinggi. Semunya kerana kuasa cinta mereka kepada Allah, Rasulullah, dan seluruh ummat muslimin, kuasa cinta inilah yang menolak mereka berbuat demikian, kuasa cinta inilah yang menolak mereka supaya sanggup menahan dan menderita segala azab, sakit, dan seksa.

Ajaibnya kuasa cinta.

Begitulah sepatutnya tindakan seorang mukmin yang sejati dalam menzahirkan cintanya. Apabila dia menyedari atau mendapati saudaranya yang lain dalam keadaan yang lemah dan memerlukan, dia akan terus bertindak melakukan sesuatu bagi membantu saudaranya itu. Apabila dia menyedari saudaranya yang lain sedang sakit menderita, dia akan terus bangkit bagi menghulurkan tangannya untuk membantu. Hatinya akan sentiasa gelisah dan tidak akan berasa tenang selagi dia tidak melakukan apa-apa yang dapat mengurangkan beban dan penderitaan saudaranya itu. Apabila dia mendapati saudaranya itu lalai dan terlupa, atau terpesong dari jalan yang lurus, cepat-cepat dia akan bangun dan bergegas ke arah saudaranya itu bagi menyampaikan nasihat dan peringatan kepadanya, tidak rela saudaranya itu terus hanyut dibawa arus hawa nafsu. Bertitik tolak dari cinta.

Begitulah seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain dalam menzahirkan perasaan cinta mereka. Ibarat sebuah jasad, mereka berkongsi rasa. Sentiasa bertolong-bantu dalam perkara-perkara kebaikan, kerana mereka jasad yang satu.

﴿ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى ﴾ [المائدة: 2]

{Dan bertolong-bantulah dalam perkara kebajikan dan taqwa} [Al-Maidah : 2]

Dari Hati Jatuh Ke Hati

Credit : Google

Dalam kita menyampaikan nasihat kepada manusia, perkara yang paling penting dan perlu diberi perhatian adalah hati.

Kerana nasihat yang mampu menembusi lubuk hati manusia kemudian menyentuh dan membelainya hanyalah nasihat yang keluar daripada hati.

Dalam perihal ini Aamir Bin Abdul Qais ada menyebut :

"الكلمة إذا خرجت من القلب، وقعت في القلب، وإذا خرجت من اللسان لم تجاوز الآذان".

"Suatu kalimah apabila keluar daripada hati, akan jatuh pada hati, dan apabila keluar daripada lisan tidak akan mencapai dua telinga".

Namun bukan mudah. Bukan semua hati mampu menyentuh dan meninggalkan kesan pada hati yang lain. Hanya hati yang hidup sahaja mampu menghidupkan hati-hati yang mati. Hanya hati yang hidup sahaja mampu merawat dan menyembuhkan hati-hati yang sakit. Hanya hati yang hidup sahaja mampu menggerakkan hati-hati yang statik, beku dan pegun.

Soal Hati : Hati Yang Hidup

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ، عَنْ عَامِرٍ، قَالَ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ، يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ...أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ‏.‏ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ ((رواه البخاري))

Abu Nuaim mencerita kepada kami bahawa Zakariyya menceritakan kepada kami, dari Aamir dia berkata bahawa aku dengar An-Nukman Bin Bashir berkata aku dengar Rasulullah SAW bersabda : "...ketahuilah bahawa sesungguhnya di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila ianya baik maka baiklah jasad keseluruhannya, apabila ianya rosak maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ianya adalah hati" (Riwayat Bukhari)‏

Hati yang hidup merupakan tiang seri ataupun tunjang utama kepada seorang mukmin. Hal ini kerana iman itu tempatnya di hati, sekiranya hati itu sendiri mati atau sakit, iman itu tidak akan mampu untuk bercambah dan tumbuh berkembang dengan baik. Perkembangannya akan terbantut. Ibarat biji benih yang dicampakkan pada tanah yang tandus dan gersang, mana mungkin ianya akan tumbuh dan bercambah. Kalau tumbuh pun, ianya akan cacat.

Hal yang sebaliknya berlaku kepada hati yang hidup, iman itu akan berkembang mekar dengan pantas dan akarnya akan mencengkam kuat sehingga ke lubuk yang paling dalam pada hati tersebut. Iman itu sifatnya bergerak dan menggerakkan, ia tidak statik. Lantas iman itu akan mengalir dan terpancar keluar ke anggota-anggota lain pemilik hati yang hidup tersebut maka dari situ terzahirlah buah-buah kepada iman tersebut, itulah dia akhlak yang soleh.

Itulah dia hati yang hidup. Apa-apa kalimat terkeluar daripada hati yang hidup ini mampu menyentuh dan memberi kesan kepada hati-hati lain yang mendengarnya. Kerana cahaya iman telah meresap masuk ke dalamnya. Mana-mana hati lain yang mendengar ucapan daripada hati yang hidup ini akan bergerak tersentap dan bergegar kerana terlalu terangnya cahaya iman yang mengiringinya.

Ini bukannya benda tipu. Kerana itu kita digalakkan untuk bergaul, bersahabat dan melazimi orang-orang soleh. Kerana iman itu tidak statik, ia akan mengalir keluar dan mempengaruhi manusia sekelilingnya.

Apabila kita bergaul dan bersahabat dengan orang soleh, secara sedar ataupun tidak aura kesolehannya sedikit sebanyak akan mempengaruhi diri kita.

Kerana itu Nabi junjungan ada bersabda dalam sebuah hadis :

وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏ لا تصاحب إلا مؤمنا، ولا يأكل طعامك إلا تقي‏"‏‏.‏
‏(‏‏(‏رواه أبو داود، والترمذي بإسناد لا بأس به‏)‏‏)‏‏

Dari Abi Said Al-Khudri RA, dari Nabi SAW baginda berkata : "Jangan kamu bersahabat kecuali dengan orang mukmin, dan biar orang yang bertakwa sahaja yang makan makanan kamu". (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)

Nabi juga bersabda dalam sebuah hadis yang lain :

وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏ الرجل على دين خليله، فلينظر أحدكم من يخالل‏"‏‏.‏
‏(‏‏(‏رواه أبو داود، والترمذي بإسناد صحيح، وقال الترمذي‏:‏ حديث حسن‏)‏‏)‏‏.

Dari Abi Hurairah RA bahawa Nabi SAW berkata : " Seorang lelaki itu akan mengikut agama kawannya, maka lihatlah setiap seorang daripada kamu dengan siapa dia berkawan". (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)

Maka oleh itu jelaslah bahawa, seorang yang hidup hatinya dengan iman yang sahih mampu untuk mengesani dan memberi pengaruh yang baik kepada manusia di sekelilingnya. Juga sebaliknya orang yang mempunyai hati yang berpenyakit kerana banyaknya maksiat dan noda berpotensi untuk memberikan kesan yang buruk kepada manusia di sekitarnya.

Seorang salafussoleh yang masyhur. Al-Hasan Al-Basri pernah berkata :

قال الحسن البصري : "استكثروا في الأصدقاء المؤمنين فإن لهم شفاعةً يوم القيامة".

Al-Hasan Al-Basri berkata : "Perbanyakkanlah bilangan kawan-kawan daripada orang-orang yang mukmin, pada mereka ada syafaat pada hari kiamat".

Sahabat pembaca yang disayangi sekalian,

Sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkan hati yang hidup. Sekiranya hati kita sakit, ikhtiarlah untuk merawatnya secepat mungkin, jangan sesekali bertangguh. Buanglah segala jenis kekotoran dan maksiat yang telah sekian lama bersarang di dalamnya, kerana itulah sebab dan punca hati kita berpenyakit. Sekiranya dibiarkan maksiat itu terperam dan membusuk lebih lama di dalam hati, dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih parah dan kemungkinan besar hati tersebut akan mati.

Sekiranya hati kita telah mati, hidupkannya semula dengan bertaubat dan banyak mengingati Allah, Dia lah tuhan dan pemilik hati yang sering berbolak-balik, banyakkan melakukan amal kebaikan dan kebajikan, tinggalkan segala jenis candu maksiat, dan yang paling penting jangan sesekali lupa untuk memohon kepada Allah agar dikurniakan hati yang hidup subur dan mekar dengan iman.

Agar hati kita mampu menghidupkan hati-hati lain yang mati. Agar hati kita mampu untuk mengubati hati-hati lain yang sakit. Agar nasihat yang kita sampaikan mampu untuk mengetuk pintu hati-hati manusia lain. Agar dakwah Islam ini akan terus berkembang dengan pesat ke seluruh pelusuk dunia. Agar kita semuanya mampu tersenyum gembira di hari akhirat kelak.

Hanya Balas Dengan Senyuman

Manusia itu tidak boleh tidak pasti akan melakukan kesilapan. Kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa, pasti ada. Oleh sebab itu, kita amat memerlukan kepada sahabat-handai yang bersedia untuk memberi nasihat dan peringatan kepada kita tatkala kita lupa dan lalai. Kita amat memerlukan kepada orang-orang yang akan memegang kuat tangan kita tatkala kita terkapai-kapai hanyut dibawa arus maksiat. Kita amat memerlukan kepada orang-orang yang akan menarik tangan kanan kita apabila tangan kiri kita ditarik oleh tipu-daya syaitan laknat. Kita amat memerlukan kepada mereka-mereka yang sentiasa mengambil berat dan mengawasi kita daripada dikuasai oleh arus fikiran dan isme-isme yang bahaya dan pelbagai nama. Tidak boleh tidak kita amat perlukan mereka.

Oleh sebab itu apabila ada seseorang yang datang kepada kita dan memberi nasihat dan peringatan, janganlah kita bermasam muka, berasa ego dan sebagainya. Sebaliknya kita perlu senyum, take note atas nasihat tersebut, berterima kasih kepadanya, dan bersyukur kepada Allah kerana kita masih mempunyai seseorang yang risau dan ambil berat tentang diri kita, seseorang yang tidak rela melihat kita terus-menerus hanyut. Senyumlah walau dia memberikan sekadar nasihat yang kecil.
Suka untuk saya memetik kata-kata As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna dalam kumpulan risalah-risalahnya :

"...فاستقيموا على منهج الحق ، وافعلوا ما أمركم الله به ، واتركوا ما نهاكم عنه ، وحاسبوا أنفسكم حساباً دقيقاً على الطاعة
والمعصية , ثم بعد ذلك لينصح كل منكم أخاه متى رأى فيه عيباً ، وليقبل الأخ نصح أخيه بسرور وفرح ، وليشكر له ذلك..."

"...Maka istiqomahlah di atas manhaj yang benar, dan buatlah apa yang Allah perintahkan kepada kamu, dan tinggalkan apa yang Allah larang daripada kamu, dan muhasabahlah diri kamu dengan teliti dalam perkara ketaatan dan kemaksiatan, kemudian selepas itu hendaklah setiap daripada kamu menasihati saudaranya apabila kamu melihat ada keaiban padanya, dan hendaklah saudara yang dinasihati itu menerima nasihat saudaranya dengan gembira dan seronok, dan dengan sebab itu hendaklah dia berterima kasih padanya..."

Seorang mukmin itu perlu menerima nasihat saudaranya yang lain dengan hati yang terbuka. Kerana kadang-kala kita lupa dan lalai, kadang-kala kita tidak sedar pun kita sedang menyeleweng daripada jalan yang lurus. Kadang-kala kita tak tahu. Kita tak nampak. Bahkan seperti mana yang disebut sebentar tadi, saudara kita itulah yang nampak dan sedar sebarang keaiban yang kita lakukan, kerana seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya.

Terimalah nasihat dengan wajah yang tersenyum dan hati yang terbuka. Jangan sesekali menarik muka masam dan geram apabila kita mendapat teguran dan nasihat daripada siapa-siapa. Ingatlah ketika kaum Nabi Salih di hancurkan oleh Allah dengan gempa bumi yang dahsyat lalu mereka menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan dalam rumah-rumah mereka sendiri. Azab itu datang kerana mereka ingkar kepada Allah serta benci dan tidak suka kepada nasihat-nasihat Nabi Salih. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran :

﴿ فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِين . فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَٰكِنْ لَا تُحِبُّونَ النَّاصِحِين ﴾ ( الأعراف : 78،79 ) .

{ Maka mereka dibinasakan dengan gempa bumi lalu mereka menjadi mayat-mayat bergelimpangan dalam rumah-rumah mereka. Maka Nabi Salih pun berpaling daripada mereka dan berkata, "Wahai kaumku, sungguh aku telah sampaikan kepada kamu semua risalah Tuhanku dan aku telah menasihati kamu tetapi kamu tidak menyukai para penasihat" } (Al-A'Raf : 78, 79) .

Adapun mereka yang melemparkan kata-kata seperti ;

"Hang sibuk lah, lantak aku lah nak buat apa pun!"

"Mind yourself lah!! Aku buat macam ni ada kacau kau ke?"

"Yang kau sibuk jaga tepi kain orang kenapa!? Cermin diri tu dulu, macam lah baik sangat! Pergi main jauh-jauh!"

Sama. Jangan kita bermasam muka. Tetap kita perlu senyum dan pasakkan dalam hati supaya kita tidak akan berputus asa daripada memberi nasihat dan peringatan.

Senyumlah, kerana itulah lumrah perjuangan. Pasti ada liku-liku dan duri-duri yang tajam. Pasti kita akan terluka. Senyumlah, dan sabarlah, kerana kita sebenarnya sedang melalui pengalaman yang sama sepertimana Rasulullah, para sahabat, dan para salafussoleh yang lain semasa mereka menjalankan tugas dakwah dan mengajak manusia kepada kebaikan. Pasti ada sahaja orang yang menentang dan melawan. Bahkan penentangan yang mereka hadapi adalah lebih teruk dan lebih berbahaya.

Senyumlah, dan sabarlah, jangan sesekali kita berasa putus asa untuk memberi nasihat dan peringatan. Jika benar kita cinta saudara kita, jika benar kita tidak rela melihat saudara kita terus tenggelam dalam lumpur dosa dan terus ketagih dengan candu maksiat. Jika benar kita tidak rela beliau dipanggang, dibarbeku, dan digoreng dalam api neraka yang penuh azab dan seksa.

Senyumlah, sabarlah, dan teruskan memberi peringatan. Walau dia tidak menerima buat kali pertama, cuba lagi buat kali kedua, kemudian cuba lagi buat kali ketiga, keempat, kelima dan seterusnya. Jangan sesekali berhenti. Dalam masa yang sama, berdoalah kepada Allah supaya dilembut dan dibukakan hatinya untuk menerima kebaikan. Sebut namanya dalam doa setiap kali selepas solat, agar Allah menggerakkan hatinya supaya bertaubat dan pulang ke jalan yang lurus. Kerana akhirnya anak kunci kepada hati manusia itu selama-lamanya milik Allah yang maha berkuasa. Kita hanya berusaha dengan memberi nasihat, mengingatkan, menyuruh membuat kebaikan, dan mencegah membuat kemungkaran. Tetapi Allah lah tuhan pemilik hati manusia, Dia lah yang memberikan petunjuk dan hidayah kepada siapa-siapa yang Dia mahu. Kita tak mampu. Kita lemah.

﴿  إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِين ﴾  [القصاص : 56]

{Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dia lah yang paling mengetahui tentang orang-orang yang diberi hidayah} [Al-Qasas : 56]

Pembaca yang disayangi sekalian,

Usaha dan doa dalam melakukan kerja-kerja memberi nasihat dan peringatan kepada manusia itu sepatutnya beriringan. Sekiranya usaha kita tinggi melangit sekalipun, kita menasihati saudara kita itu secara berterusan selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan sekalipun, rakam nasihat-nasihat kita dengan pemain mp3 dan pasangkannnya pada telinga beliau selama 24 jam sekalipun, sekiranya Allah kata tidak berjaya, sekiranya Allah mengkehendaki beliau tidak mendapat hidayah, maka kuasa apakah yang mampu menghalang kehendakNya?

Jangan Berhenti Memberi Nasihat

Tidak diragukan lagi bahawa kesejahteraan dan keharmonian pada sebuah-sebuah masyarakat itu akan dapat direalisasikan dengan membudayakan amalan tanasuh atau saling nasihat-menasihati. Dengan amalan ini, seluruh masyarakat akan bersatu dan menjadi kuat. Kerana setiap anggota masyarakat memainkan peranan dalam menyuruh membuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pernah berkata :

"فإن الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر من أوجب الأعمال وأفضلها وأحسنها".

"Maka sesungguhnya menyuruh membuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran itu adalah antara amalan yang paling wajib, paling elok, dan paling baik".

Setiap anggota masyarakat adalah ibarat cermin kepada saudara-saudara mereka yang lain. Ikatan ukhuwwah antara mereka kuat dan saling menguatkan, mereka ibarat sebuah bangunan. Mereka tidak rela melihat saudara mukmin mereka hanyut dibawa arus kemaksiatan yang deras dan membunuh, mereka tidak rela membiarkan mereka begitu sahaja, hati mereka tidak akan berasa tenang, mereka ibarat satu jasad. Semuanya bertitik tolak dari perasaan cinta yang tertanam elok kepada Allah, RasulNya, agama Islam, masyarakatnya, pemuda-pemudi bangsanya, juga anak-anak bangsanya, dan negaranya.

Amalan saling nasihat-menasihati itu terbina daripada perasaan bertanggungjawab dan mengambil berat kepada orang lain. Ia juga merupakan satu usaha untuk membina masyarakat di atas satu asas yang lurus. Ketahuilah bahawa mengabaikan amalan saling memberi nasihat itu bererti berlebih-lebihan dengan sifat keakuan dan sifat mementingkan diri sendiri. Dan ketahuilah bahawa ianya akan memberikan implikasi yang sangat buruk kepada masyarakat dan negara.

Sekiranya amalan saling nasihat-menasihati itu diabaikan, tiada syak lagi bahawa sesebuah masyarakat itu akan mengalami kemunduran, kejatuhan, kehinaan, kemerosotan, dan kekacauan yang sangat dahsyat. Ia akan membawa polemik dan wabak yang membunuh ke seluruh lapisan masyarakat.

Pegangan agama akan menjadi lemah dan longgar kerana tidak ada seorang pun yang memandu, mengajar dan menunjukkan kepada masyarakat hukum-hakam syariah, perkara yang halal dan haram, juga perkara-perkara asas akidah.

Anak-anak kecil akan terus berkelakuan nakal dan tidak senonoh kerana tidak menjumpai mereka-mereka yang akan mengajar mereka adab-adab dan akhlak-akhlak islami.

Para pemudi akan terus membiarkan tubuh-tubuh mereka terdedah kerana inginkan tumpuan , membiarkan diri mereka diurat oleh lelaki-lelaki buaya darat, membiarkan diri mereka terus diselaputi lumpur-lumpur maksiat, ikhtilat yang tidak terkawal, membiarkan diri mereka terus-menerus ditarik masuk ke kancah zina sedikit demi sedikit kerana tidak menjumpai mereka-mereka yang akan menarik tangan mereka keluar dari kubang dosa dan maksiat, mengajar mereka akhlak-akhlak terpuji sebagai seorang wanita, mengajar mereka supaya menghargai dan mempertahankan maruah diri mereka sebagai wanita, menerangkan kepada mereka had batasan aurat dan etika pergaulan mereka, dan menyedarkan mereka supaya memahalkan diri mereka sebagai seorang wanita muslim.

Para pemuda pula akan terus-menerus merosakkan diri mereka dengan perkara-perkara maksiat, menghitamkan hati-hati mereka dengan melihat perkara-perkara maksiat, video lucah dan pornografi, menghancurkan diri mereka dengan menyedut asap-asap rokok dan shisha, mensia-siakan kudrat dan masa mereka dengan merempit di jalan-jalan raya, melepak di bar, kelab malam dan disko kerana mereka tidak menjumpai mereka-mereka yang akan mengetuk kepala-kepala mereka dan menampar pipi-pipi mereka agar mereka sedar dan terjaga daripada tidur dan lena yang panjang dan melalaikan, mengingatkan mereka tentang kewajipan sebagai seorang lelaki muslim, memberitahu mereka tentang azab-azab dan seksaan yang akan ditimpakan kepada ahli-ahli fasiq dan maksiat pada hari kiamat.

Kemaksiatan dan kerosakan itu akan terus tersebar...

Sehinggalah sampai satu masa semua orang tidak memberikan nasihat dan peringatan kecuali teramat sedikit bilangan mereka, kerana kebanyakan ahli masyarakat hanya mementingkan kemaslahatan diri mereka sendiri dan mengabai serta menganggap remeh amalan tanasuh ini, mengabaikan saudara-saudaranya yang lain kerana kepentingan diri, hatta anak-anaknya, isterinya, dan adik-beradik kandungnya... maka tunggulah azab dari Allah yang maha keras azabNya.

Seluruh lapisan masyarakat akan terkena tempiasnya. Tiada yang terkecuali. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda :

عن أبي بكر الصديق، رضي الله عنه ، قال‏:‏‏ ... وإني سمعت رسول الله، صلى الله عليه وسلم، يقول‏:‏ “إن الناس إذا رأو الظالم فلم يأخذوا على يديه أوشك أن يعمهم الله بعقاب منه‏"‏ ‏(‏‏(‏رواه أبو داود، والترمذي، والنسائي بأسانيد صحيحة)).

Dari Abi Bakar As-Siddiq RA, dia berkata : ... dan aku telah mendengar Rasulullah SAW berkata : "Sesungguhnya seorang manusia apabila melihat seseorang melakukan kezaliman kemudian dia tidak memegang tangannya (untuk mencegahnya), hampir-hampir sahaja Allah mengazab mereka kesemua sekali". [Riwayat Abu Daud, Tirmidzi, & An-Nasaie]

Dalam sebuah hadis yang lain :

عن حذيفة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏ والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف، ولتنهون عن المنكر، أو
ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابًا منه، ثم تدعونه فلا يستجاب لكم‏"‏ ‏(‏‏(‏رواه الترمذي وقال‏:‏ حديث حسن صحيح‏)‏‏)‏‏.‏

Dari Huzaifah RA bahawa Nabi SAW berkata : "Demi jiwaku yang berada di tanganNya, hendaklah kamu semua menyuruh kepada kebaikan, dan hendaklah kamu semua melarang daripada kemungkaran, atau Allah pasti akan menimpakan azabNya ke atas kamu semua, kemudian kamu berdoa kepadaNya dan Dia tidak menjawab doa-doa kamu". (Riwayat Tirmidzi)

Sungguh dahsyat.

Inilah azab yang disebut oleh As-Sheikh Ahmad Ar-Rasyid dalam bukunya 'Al-Muntolaq' atau 'Langkah bermula', beliau menyebut azab ini sebagai 'Qanun Iqab Al-Jamaie' atau dalam bahasa melayunya 'Undang-undang balasan yang menyeluruh'.

Inilah azab yang akan menimpa kepada masyarakat yang sudah hilang amalan saling memberi nasihat dan peringatan. Azab yang akan menimpa ke atas seluruh ahli masyarakat. Sama ada ahli ibadah atau ahli maksiat, kaki masjid atau kaki disko, pemerintah atau rakyat, yang kaya atau yang miskin, yang bujang atau yang sudah berkahwin, kanak-kanak atau dewasa, bayi atau orang tua, semuanya akan terkena dan mendapat kesan buruk daripada azab yang sangat menggerunkan ini.

Kemudian As-Sheikh Ahmad Ar-Rasyid menerangkan lagi dalam bukunya bahawa hanya ada satu sahaja jalan keluar daripada kemelut ini.

Apakah jalan tersebut?

Jalan itu adalah, : 'menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran'.

Sahabat pembaca yang disayangi,

Kesimpulannya, keluarlah dari rumahmu dan pergilah menemui manusia, sampaikanlah nasihat dan peringatan. Sebarkanlah kebaikan dan hapuskanlah kejahahatan. Jangan sesekali kita berhenti memberi nasihat dan peringatan. Jangan sesekali. Semoga sedikit usaha itu akan menjadi alasan atau asbab pelepasan diri kita daripada api neraka.

﴿ وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ﴾ [الفصلت : 33]

{Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta melakukan amalan yang soleh, dan berkata : "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang muslim".} [Al-Fussilat : 33]

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...