Friday, 1 May 2015

Kesepakatan Tunjang Kekuatan Ummah (Bahagian 2)

[Baca (Bahagian 1) di sini]

Musuh Tidak Akan Duduk Diam

Antara bidak-bidak catur utama dalam barisan tentera Iblis laknat zaman moden, (sumber gambar : google)

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan di atas muka bumi ini, permusuhan dan pertembungan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Itulah ketetapan Allah ataupun sunnah yang Allah SWT telah tetapkan sejak Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi. Itulah permusuhan ataupun pertembungan antara janji Allah SWT dan godaan Iblis laknat, itulah permusuhan ataupun pertembungan antara iman dan kekufuran, antara petunjuk dan kesesatan, antara cahaya dan kegelapan, antara al-haq (kebenaran)  dan al-batil (kebatilan).

(... قُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ...) [سورة البقرة : 36]

(... Kami berfirman : “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain...) [ Al-Baqarah : 36]

Pertembungan antara al-haq dan al-batil pasti dan sentiasa terus menerus berlaku sepanjang zaman. Tentera-tentera Allah SWT sentiasa berada di dalam sebuah medan peperangan yang sama bersama Iblis laknat dan bala tenteranya yang terdiri daripada syaitan dalam kalangan jin dan manusia. Pihak musuh akan sentiasa menyerang dan menggasak pihak yang menjulang panji kebenaran selagi mana mereka terus kuat dan utuh menggenggam panji kebenaran tersebut. Pihak musuh tidak akan sesekali redha dan berhenti melangkah demi menjatuhkan panji kebenaran tersebut.

Kita dapat lihat apabila perpecahan dan ketidaksepakatan berlaku dalam satu-satu masyarakat, musuh-musuh yang telah sekian lama memerhati akan mula membuat cubaan-cubaan menyusup masuk bagi menguasai dan mendominasi keadaan. Itulah antara strategi Iblis dalam siri-siri serangannya terhadap tentera-tentera  Allah SWT.

Contoh yang jelas berlaku dalam peristiwa peperangan Uhud. Apabila pasukan pemanah tentera Islam yang ditempatkan di atas bukit Uhud berpecah dan hilang kata sepakat, dengan pantas pasukan tentera Khalid Al-Walid menggempur dan melancarkan serangan balas bagi menguasai medan pertempuran.

Begitu juga yang kita dapat lihat dalam kisah perbalahan antara suku Aus dan Khazraj di kota Yathrib sebelum mereka menerima Islam. Peperangan dan perpecahan yang berpanjangan selama bertahun-tahun antara keduanya telah menarik perhatian orang-orang Yahudi di kota Yathrib bagi mengambil kesempatan demi kepentingan kedudukan politik dan ekonomi mereka di tanah yang subur tersebut. Sedangkan mereka hanyalah golongan minoriti.


Hal yang sama berlaku selepas suku Aus dan Khazraj menerima Islam dan bersatu di bawah naungan agama suci tersebut. Sepertimana yang dinukilkan dalam Sirah Nabawiyah Ibn Hisyam karangan Al-Imam Abd Al-Malik Ibn Hisyam, di Madinah ketika itu terdapat seorang lelaki tua berbangsa Yahudi yang sangat memusuhi orang-orang Islam, beliau adalah Shas Ibn Qais. Hatinya tidak pernah tenang dan selesa dengan kesatuan dan kesepakatan orang-orang Islam di Madinah. Pada suatu hari Shas Ibn Qais berjalan melepasi sekumpulan sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Hatinya terbakar. Bagaimana mereka boleh bersatu dan bersepakat sedangkan dahulunya mereka merupakan seteru yang tidak pernah kenal erti damai dan aman? Sedangkan mereka dahulunya pernah terperangkap dalam jurang permusuhan yang sangat dalam? Lantas Shas Ibn Qais mengarahkan salah seorang pemuda Yahudi yang bersamanya ketika itu untuk menyelit masuk dalam perkumpulan orang Islam tersebut dan berkata,

“Pergilah pada mereka, duduklah bersama mereka, kemudian peringatkan pada mereka perihal Hari Bu’ath dan apa-apa perkara yang sebelumnya...”.

Sungguh, sangat busuk hati yang dimiliki oleh Shas Ibn Qais. Maka pemuda Yahudi tersebut pergi dan melaksanakan tugasnya, seorang agen perpecahan. Misinya berjaya dan mula menampakkan hasil, kumpulan sahabat Rasulullah SAW tersebut mula berbincang perihal siri-siri peperangan antara mereka sebelum ini. Perbincangan semakin panas. Keadaan semakin gamat. Mereka mula saling berbantah-bantah dan bertengkar. Mereka saling berbangga-bangga dengan suku masing-masing.  Api kebencian dan permusuhan mula terpercik kembali. Setelah sekian lama terpadam.

Peristiwa ini sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Lantas Baginda SAW terus menuju kepada mereka bersama sahabat-sahabatnya dari kalangan Muhajirin dan bersabda,

“Wahai sekalian orang Islam, Allahu Allahu, adakah kamu ingin mengkedepankan tuduhan-tuduhan jahiliyyah dan aku berada di sini di belakang kamu? Selepas Allah memberikan kamu petunjuk kepada Islam, memuliakan kamu dengannya, memutuskan kamu dengannya daripada perkara jahiliyyah, menyelamatkan kamu dengannya daripada kekufuran, dan menyatukan antara hati-hati kamu?”

Selepas mendengar kata-kata mulia daripada mulut Rasulullah SAW, kumpulan sahabat yang tadinya saling bertengkar tersentak. Mereka sedar bahawa ini adalah tipu daya dan muslihat syaitan laknat yang berkomplot dengan pihak musuh. Api kebencian yang baru mula hendak marak membakar tiba-tiba terpadam. Mereka menangis. Air mata taubat mengalir keluar. Kumpulan pemuda daripada suku Aus dan Khazraj tersebut saling berpelukan, sambil air mata mereka jatuh berderai. Allah selamatkan kesatuan mereka daripada dirobekkan oleh komplot jahat Shas Ibn Qais!

Lihatlah, pihak musuh tidak mungkin akan duduk diam dan selesa dengan kesatuan umat Islam. Pasti ada sahaja perasaan dengki dan hasad. Pasti ada sahaja cara dan perancangan untuk menghancurkan kesatuan dan kesepakatan antara umat Islam.

Begitu juga dalam dunia moden. Misalnya dalam revolusi Arab Spring di Libya pada tahun 2011, apabila Muammar Gaddafi, mantan pemipin tertinggi Republik Arab Libya enggan berundur dari jawatannya sepertimana yang dilakukan oleh Hosni Mubarak, mantan Presiden Mesir dan Zine El Abidine, mantan Presiden Tunisia, rakyat Libya berpecah kepada dua kumpulan besar iaitu penyokong regim Muammar Gaddafi dan penentangnya. Melihat perpecahan ini, US mengambil kesempatan untuk turut campur tangan dalam konflik yang berlaku dengan menghantar pasukan tenteranya ke Libya dengan alasan iannya adalah sebuah ‘misi keamanan’. Akhirnya mengundang malapetaka dan bencana yang lebih besar apabila musuh sudah mula menyusup masuk dan menguasai isu-isu dalaman sesebuah negara Islam.

Hal yang sama juga berlaku kepada negara-negara Islam yang lain seperti Afghanistan, Iraq, Somalia, dan sebagainya. Tidak dilupakan juga peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa zaman pemerintahan raja-raja melayu sebelum tanah melayu dikuasai dan dijajah oleh British. Semuanya berpunca daripada perpecahan dan ketidaksepakatan rakyat negara itu yang akhirnya menarik perhatian pihak musuh bagi mencampur tangan dalam konflik-konflik dalaman yang berlaku. Akhirnya membawa kepada kerosakan dan kehilangan kuasa pemerintahan daripada genggaman mereka yang sepatutnya dan berhak memerintah. Agenda Islam dan negara sendiri terabai tetapi agenda pihak musuh pula yang dipenuhi dan terlaksana.

Inilah yang paling ditakuti berlaku dalam negara kita yang tercinta, Malaysia. Ketahuilah bahawa pihak-pihak musuh sudah lama memerhati dan menunggu-nunggu peluang bagi mereka menyusup masuk dan mencampur tangan dalam urusan-urusan dalaman negara kita. Awas, musuh-musuh Islam tidak akan sesekali duduk diam dan selesa, mereka sentiasa akan mencari-cari ruang dan peluang bagi memecah-belahkan kesatuan dan kesepakatan umat Islam.

Perpecahan dan ketidaksepakatan akhirnya akan membawa padah dan kerosakan yang lebih parah dan kritikal lagi, ianya tidak akan membawa sebarang kebaikan!

As-Syahid Al-Imam Hasan Al-Banna telah berkata dalam himpunan risalah-risalahnya :

"...وإن أعظم ما مني به المسلمون الفرقة والخلاف، وأساس ما انتصروا به الحب والوحدة..."

“... Dan sesungguhnya malapetaka yang paling dahsyat yang menimpa orang-orang Islam adalah perpecahan dan perselisihan, dan asas bagi orang-orang Islam ini menang pula adalah cinta dan kesatuan...”

Kesepakatan Yang Kita Impikan


Sekiranya kesepakatan dan kesatuan yang kita semua impikan adalah kesemua orang-orang Islam duduk bersatu di bawah satu sistem kepimpinan dan pentadbiran tanpa wujudnya sistem-sistem kempimpinan atau pentadbiran-pentadbiran yang lain, maka itu adalah satu kesepakatan dan kesatuan yang sangat baik dan terpuji. Namun kesatuan dan kesepakatan yang seperti itu adalah satu idea yang terlalu ideal dan hampir-hampir mustahil direalisasikan memandangkan keadaan semasa orang-orang Islam yang terdiri daripada pelbagai parti-parti politik, pelbagai organisasi-organisasi bukan kerajaan, pelbagai gerakan Islam, persatuan, kelab, dan sebagainya. Badan-badan yang pelbagai ini dibentuk dan dipengaruhi oleh idea-idea dan halatuju masing-masing. Badan-badan yang pelbagai ini pula dipimpin dan ditadbir oleh pemimpin-pemimpin masing-masing yang tersendiri.

Jadi bagaimana kesatuan dan kesepakatan yang kita impikan ini? Bagaimana kesatuan dan kesepakatan akan terbentuk? Ianya seolah-olah mustahil.

Bagi menjawab persoalan ini, kita telusuri kembali kepada sirah manusia teragung, Rasulullah SAW. Baginda semasa memerintah Madinah, kota Madinah terdiri daripada pelbagai kategori dan lapisan masyarakat, terdapat golongan Ansor yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj, terdapat juga golongan Muhajirin iaitu penduduk Mekah yang berhijrah bersama Rasulullah SAW ke Madinah, terdapat golongan Yahudi, dan suku-suku Arab yang lain. Masing-masing golongan mempunyai ketua dan pemimpin yang tersendiri. Namun walaupun begitu, baginda SAW berjaya membina sebuah negara Madinah yang kuat dan mapan dengan struktur masyarakatnya yang bersatu-padu dan saling berkasih-sayang. Hati-hati mereka bertaut demi membangunkan negara Madinah.


Hal ini adalah kerana wujudnya perasaan cinta dan persaudaraan. Inilah kuasa cinta dan persaudaraan. Perkara pertama sekali yang dilakukan oleh baginda SAW apabila golongan Muhajirin sampai ke Madinah adalah baginda SAW mempersaudarakan mereka dengan golongan Ansor. Antaranya adalah Abdul Rahman Bin Auf daripada Muhajirin dipersaudarakan dengan Saad Bin Al-Rabi’ dari golongan Ansor. Mereka menjadi saudara dan mendapat hak-hak seperti seorang saudara kandung walaupun pada asalnya mereka tidak ada langsung hubungan kekeluargaan.

Apabila wujudnya perasaan cinta dan persaudaraan antara dua individu atau organisasi, maka persepakatan dan kesatuan itu adalah lebih mudah untuk terbentuk. Ini lah apa yang dimaksudkan oleh Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dalam kata-katanya sebelum ini,

"... ولا وحدة بغير حب..."

“... Tidak ada kesatuan tanpa cinta...”

Ya, tidak mungkin akan wujudnya persepakatan atau kesatuan antara dua individu, atau antara dua badan atau organisasi melainkan selepas wujudnya dahulu perasaan cinta antara keduanya. Inilah yang cuba untuk disemai oleh Rasulullah SAW apabila baginda mempersaudarakan antara sahabatnya. Agar terpadam sifat keakuan dan fanatik terhadap golongan atau kabilah masing-masing, dan apa yang tinggal selepas itu hanyalah roh atau semangat Islam, dan kemudiannya bertaut serta terikat antara hati-hati mereka dengan ikatan akidah Islam. As-Syahid Hasan Al-Banna berkata lagi dalam himpunan risalah-risalahnya,

"...والعقيدة أوثق الروابط وأغلاها..."

“... Dan akidah adalah ikatan yang paling kuat dan paling mahal...”

Apabila roh Islam menguasai satu-satu persepakatan, segala jenis kepentingan peribadi yang bersifat keduniaan sama ada survival karier politik, kestabilan ekonomi, atau status sosial tidak akan melebihi dan menguasai persepakatan tersebut. Sebaliknya persepakatan tersebut akan meletakkan agenda Islam sebagai matlamat dan halatuju yang utama dan mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum segala perkara yang lain.

Adapun dengan golongan Yahudi, baginda telah mengikat sebuah perjanjian dengan mereka dengan tujuan menjaga keharmonian masyarakat dan negara di samping membenarkan mereka mengamalkan agama dan kepercayaan mereka dengan bebas dan merdeka.  Antara isi perjanjian tersebut adalah :

“Bahawa Yahudi daripada Bani Auf adalah satu ummat bersama orang-orang beriman, untuk orang-orang Yahudi agama mereka dan untuk orang-orang Islam agama mereka, begitu juga dengan sekutu mereka dan diri mereka sendiri, dan begitu juga dengan golongan Yahudi selain Bani Auf”.

“Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai negara sepertimana orang-orang Islam hendaklah membiayai negara”.

Apapun, adalah sangat perlu untuk kita faham bahawa hubungan antara kita sebagai seorang yang beragama Islam dengan seorang yang kafir bukanlah hubungan persaudaraan.

Begitulah. Jadi, bagi mewujudkan sebuah kesatuan dan kesepakatan yang ideal yang kita impikan sebelum ini, ianya tidak mustahil direalisasikan namun tidak boleh tidak sebelum itu kesemua badan dan organisasi-organisasi kecil yang terasing dan tersendiri ini wajib bersepakat dan bersatu terlebih dahulu, dan sebelum persepakatan itu terjadi perlu wujudnya terlebih dahulu perasaan cinta dan kasih antara mereka. Namun persoalan lain pula yang timbul, mampukah sebuah kesatuan dan kesepakatan yang ideal itu dibentuk dalam kalangan umat Islam masa kini? Adakah kita sedang berusaha ke arah pembentukannya? Ataupun ianya hanyalah sebuah retorik yang hanya mampu dilaung-laungkan sahaja?

Perselisihan Itu Pasti

Dalam sebuah-sebuah kesepakatan dan kesatuan, tidak menjadi syarat kepada setiap anggota yang bersepakat supaya bersatu dan bersepakat dalam setiap perkara. Hal ini adalah kerana setiap manusia itu adalah berbeza-beza akal dan fikirannya. Oleh kerana setiap manusia itu berbeza akal dan fikirannya, maka pendapat dan pandangan yang dikeluarkan oleh setiap individu berkemungkinan untuk berbeza dan bersalahan antara satu sama lain itu ada.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja kepada perselisihan dan perbezaan pendapat para ulama’ dalam permasalahan fiqh. Imam As-Syafie walaupun pernah berguru dengan Imam Malik, namun beliau tidak mengikut seratus peratus pendapat dan fatwa yang dikeluarkan oleh Imam Malik. Bahkan beliau mengeluarkan pendapat dan fatwa sendiri. Begitu juga dengan Imam mazhab yang lain seperti Imam Ahmad Bin Hanbal, dan Imam Hanafi.

Perbezaan pendapat dan pandangan dalam permasalahan fiqh ini adalah perkara cabang yang tidak boleh tidak pasti akan berlaku dan tidak mungkin akan bersatu selamanya atas beberapa faktor seperti perbezaan keupayaan akal dalam memahami suatu dalil, keupayaan menggarap ilmu, perbezaan geografi, perbezaan mempercayai suatu riwayat atau dalil, dan sebagainya.

Dalam perkara-perkara cabang, tiada masalah untuk kita berbeza pendapat dan pandangan, tiada masalah untuk kita kekal duduk di dalam parti, badan, atau organisasi yang kita sertai. Tetapi di dalam perkara-perkara pokok atau teras seperti perkara akidah, kedudukan agama Islam, dan kehormatan atau maruah orang Islam, tiada kompromi, setiap orang yang mengaku menganut agama Islam wajib bersatu dan bersepakat dalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Para sahabat RA juga berbeza dan berselisih dalam mengeluarkan sebarang pendapat dan fatwa. Contohnya ketika peristiwa solat Asar di Bani Quraizah dan ketika menentukan sama ada solat witir dilaksanakan sebelum tidur atau selepas tidur itu lebih baik. Sedangkan mereka adalah manusia yang paling rapat dengan Rasulullah SAW. Adakah apabila mereka berselisih pendapat mereka telah hilang kesatuan dan kesepakatan mereka? Sudah tentu tidak.

Sebuah Solusi Unggul


Al-Allamah As-Sheikh Mohammed Rashed Redha (1865-1935), (sumber gambar : Wikipedia)

Begitulah. Untuk mencapai satu tahap di mana tidak berlaku langsung sebarang perselisihan dan pertembungan adalah satu perkara yang mustahil. Lebih-lebih lagi dalam keadaan umat Islam kini yang sudah sedia berpecah-pecah dalam pelbagai gerakan, kelompok, kumpulan, badan, atau organisasi yang berbeza-beza.

Pada hakikatnya, permasalahan ini bukanlah satu isu yang baru. Ianya telah lama berlaku dan berlarutan dibincang serta dibahaskan sejak zaman-berzaman. Seorang tokoh pemikir Islam moden yang ulung, Al-Allamah As-Sheikh Mohammed Rashed Redha (1865-1935 M) telah datang dengan sebuah formula unggul yang dirumus berdasarkan pemerhatian beliau yang mendalam terhadap hidayah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW serta petunjuk daripada athar-athar generasi salafussoleh bagi menangani permasalahan ini. Beliau berkata :Al-cangkan.

"نتعاون فيما اتفقنا عليه، ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه".

“Kita bekerja-sama di dalam apa yang kita sepakati ke atasnya, dan saling maaf-memaafkan di antara kita di dalam apa yang kita perselisihkan di dalamnya”.

Sungguh, ini adalah sebuah formula yang mampu menjadi solusi unggul kepada masalah perpecahan dan ketidaksepakatan dalam kalangan umat Islam kini. Andai sekiranya seluruh umat Islam dalam sebuah-sebuah negara, khususnya di Malaysia, mampu bergerak dan berjuang dalam satu barisan dan pakatan, saling bekerjasama dalam perkara-perkara yang mampu disepakati bersama seperti perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam, perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan rakyat serta keselamatan negara misalnya. Selain mereka saling maaf-memaafkan dan berlapang dada dalam isu-isu yang diperselisihkan, misalnya perbezaan gerak kerja, metod atau pendekatan dakwah, dan sebagainya, pasti impian dan cita-cita setiap muslim bagi menegakkan sebuah negara Islam yang berdaulat dan sejahtera mampu direalisasikan. Selain impian rakyat Malaysia seluruhnya bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang harmoni akan tercapai dalam masa yang sekejap.

Nah, cuba kita fikirkan. Sekiranya Iblis dan bala tenteranya daripada kalangan jin dan manusia mampu bersatu tenaga dalam satu ketumbukan bagi menumpaskan umat Islam dengan siri-siri serangan dan gasakan mereka yang tidak pernah berhenti, mengapa kita perlu berpecah dan berbalah-balah? Sekiranya Iblis laknat dan bala tenteranya mampu duduk semeja, berbincang, dan bersepakat dalam merencana projek-projek dan pelan-pelan bagi  menyeleweng dan memesongkan umat Islam daripada jalan yang lurus, mengapa kita masih bertengkar dan saling salah-menyalahkan antara satu sama lain?

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran :

(والذين كفروا بعضهم أولياء بعض إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير) [الأنفال: 73]

(Dan orang-orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (kaedah saling bantu-membantu dan bekerjasama sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT), maka akan berlakulah fitnah di atas muka bumi ini serta kerosakan yang besar) [Al-Anfal : 73]

As-Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam menerangkan ayat ini, beliau berkata bahawa sekiranya umat Islam tidak saling bertolong-bantu dan bersepakat antara satu sama lain sepertimana yang berlaku dalam kalangan orang-orang kafir di pihak mereka, maka akan berlaku fitnah dan kekacauan serta kerosakan yang besar di atas muka bumi.  Hal ini adalah kerana wujudnya kesatuan, kesepakatan, keterikatan, serta amalan saling bantu-membantu dalam kalangan orang-orang kafir, berbeza dan berlawanan dengan perpecahan, ketidaksepakatan, serta kelemahan dalam kalangan umat Islam.


Bangun dan lihatlah wahai umat. Relakah kita melihat muka bumi ini dipenuhi dengan kekacauan, kelam-kelibut, dan kerosakan yang besar akibat perpecahan kita sendiri? Ayuhlah kita menyambut seruan kesatuan dan kesepakatan ini demi memenangkan Islam dan menegakkan hakimiyah Allah SWT di atas muka bumi ini. Ayuhlah kita saling bekerja sama dalam perkara-perkara yang mampu kita sepakati, dan saling maaf-memaafkan dalam perkara yang kita perselisihkan. Ayuh kita bersatu menggempur barisan hadapan tentera Iblis laknat!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...