Cinta Puitis Islamis
![]() |
| Credit : Google |
"Wahai, daku sedang menantikan seseorang yang sudi menjadikan daku sebagai makmumnya, duhai bakal imamku..."
*Ambil baldi sekejap dan muntah*
Fenomena 'cinta islamis' atau 'cinta puitis islamis' atau dengan bahasa kasarnya 'gedik islamik' nampaknya semakin menular bak epidemik dan semakin tumbuh subur bak cendawan tumbuh pasca turunnya hujan dalam kalangan remaja muslim khususnya para du'at (pendakwah) ataupun mereka yang mengaku sebagai seorang da'ie (juga bermaksud pendakwah). Bahkan ada antara mereka yang menyatakan perbuatan ini tidak salah dan 'halal' di sisi Islam.
Tegasnya, sifat sebegini tidak sepatutnya ada dalam jiwa mereka yang mendakwa dirinya sebagai seorang yang membawa risalah Islam, kerana ianya merupakan suatu perkara yang kecil, sia-sia, dan akan membawa kepada banyak angan-angan seterusnya akan mengakibatkan produktiviti amal terjejas. Selain itu, penyakit ini juga sedikit-sebanyak dapat merosakkan imej pendakwah islam di mana masyarakat kebanyakan akan menganggap bahawa motif utama penggabungan diri dalam jemaah dakwah adalah untuk mencari pasangan hidup dan seterusnya hidup bahagia dalam dunia yang penuh cinta, walhal pada hakikatnya bukan sekadar itu.
Salahkah Aku Mencari Jodoh?
![]() |
| Credit : Google, unknown artist |
Pasti persoalan ini timbul dalam benak hati pembaca, ketahuilah bahawa Allah SWT telah berfirman :
(وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ) [سورة الروم : 21]
" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
Nabi junjungan juga pernah bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ
الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ.
Dari Abu Hurairah RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda : "Seorang perempuan itu dinikahi kerana empat perkara : Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya, maka dapatkanlah yang mempunyai agama, kamu akan beruntung."
(Sahih Bukhari)
(Sahih Bukhari)
Berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis di atas, tak perlu dibincangkan lagi bahawa keinginan untuk berkahwin itu adalah fitrah semula jadi manusia dan berusaha mencari jodoh yang baik itu pula adalah perlu, bahkan ada ulama' yang mengatakan wajib untuk mencari jodoh yang baik.
Adapun yang menjadi topik perbincangan kali ini adalah sikap sesetengah manusia yang keterlaluan dalam 'usaha' beliau mencari jodoh. Sehingga ada yang ber'couple' atau berpacaran sebelum bernikah, tidak kurang juga yang menghantar post ataupun status menagih cinta dan sayang di Facebook, Twitter dan sebagainya lantas menyebabkan orang- orang lain yang membacanya berasa loya tekak dan mual halkum.
Orang-Orang Sebegini Adalah Mereka Yang Kurang Kasih Sayang
![]() |
| Credit : Google, unknown artist |
Mengapa?
Sebelum menjawab persoalan itu, ketahuilah wahai pembaca sekalian bahawa kita mempunyai tuhan yang maha pengasih, juga maha penyayang, Dia maha mencintai, sehingga dikatakan cintaNya pada hamba-hambaNya melebihi perasaan cinta seorang ibu pada anak yang sedang disusukannya. Dialah yang layak dicintai sepenuh jiwa dan raga, di mana sesiapa yang mencintaiNya, pasti cintanya akan dibalas berganda-ganda. Jauh berbeza dengan cinta manusia, jauh sekali. Ibarat langit dan bumi, ibarat pipit dan enggang.
Imam Ibnul Qayyim berkata: “Tidak ada kebahagiaan, kelazatan, kenikmatan, dan kebaikan bagi hati manusia kecuali (setelah) dia menjadikan Allah (sebagai) satu-satunya sembahannya, puncak dari tujuannya dan Zat yang paling dicintainya melebihi segala sesuatu (yang ada di dunia ini)”
Selain itu, Rasulullah SAW pernah bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَىَّ عَبْدِي بِشَىْءٍ أَحَبَّ إِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَىَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطُشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ... ". (رواه البخاري).
Dari Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW : " Allah berfirman : ' Barangsiapa yang bertindak kasar pada waliKu (orang soleh) aku mengisytiharkan perang padanya, dan tidaklah hambaKu mendekatkan dirinya padaKu dengan sesuatu yang paling aku cintai dari apa yang aku fardhukan padanya, dan berterusan hambaKu itu mendekatkan dirinya padaKu dengan perkara-perkara sunat sehingga Aku cinta padanya, dan apabila Aku cinta padanya, aku menjadi pendengarannya yang mana dia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang mana dia melihat dengannya, dan tangannya yang mana dia mencengkam dengannya, dan kakinya yang mana dia berjalan dengannya, dan apabila dia meminta padaKu aku akan memberikannya, dan apabila dia memohon perlindungan padaKu Aku akan melindunginya...
(Riwayat Bukhari)
(Riwayat Bukhari)
Nah, lihatlah betapa Allah itu maha pencinta kepada hamba-hambaNya yang soleh.
Cinta Itu Buta
![]() |
| Credit : artist, OKRA |
Ibarat seorang lelaki yang sedang asyik dan mabuk bercinta dengan seorang wanita, pasti segala yang dipandang pada wanita itu akan menjadi cantik dan baik. Pasti juga lelaki itu tidak akan mencari dan memandang wanita selainnya, seolah-olah perasaan cinta itu telah membutakan mata dan hatinya.
Ibarat seorang lelaki yang sedang asyik dan mabuk bercinta dengan seorang wanita, pasti segala kemahuan wanita itu akan diturutkannya. Beg tangan dan pakaian berjenama, rantai emas, cincin berlian dan sebagainya, semuanya boleh belaka, sebut sahaja!
Begitu juga sepatutnya hubungan antara kita dengan Allah. Apabila seseorang hamba itu mencintai tuhannya dengan sepenuh jasad dan hatinya, pasti dia tidak akan memandang selainNya, pasti dia tidak akan nakal mengurat dan ber'chatting' manja serta saling 'tag' menge'tag' dengan seseorang yang tidak halal baginya, pasti dia tidak akan terkinja-kinja ber'couple' dan berpacaran, walaupun 'couple' itu didakwa sebagai 'couple islamik', pasti dia tidak akan tergedik- gedik mencari 'tulang rusukku yang hilang', juga mencari 'makmum' dan 'imam' (yang hilang?) di laman-laman sosial.
Apabila seorang hamba mencintai tuhannya dengan sebenar-benar cinta pasti juga dia akan menuruti segala suruhan dan larangan tuhannya tanpa sebarang bantahan, sepertimana keadaan lelaki yang sedang mabuk cinta tadi.
Kerana Allah itu pasti membalas cinta hamba-hambaNya, seorang muslim yang benar-benar mencintai Allah pasti akan merasa cukup dengan cintaNya. Jiwanya tidak akan disibukkan dengan cinta-cinta lain yang kecil.
Sebuah syair arab ada menyebut ;
لو كان حبُّك صادقًا لأطعتَهُ إن المحبَّ لِمن يُحِبُّ مطيعُ
Sekiranya cintamu itu tulus pasti kamu taat padanya Sesungguhnya seorang pencinta itu taat kepada siapa yang dicintainya
Oleh itu, awasi dan perhatikan kepada siapa kau berikan cinta. Salah beri cinta, buruk padahnya.
Tetapi ini tidak bermakna kita dilarang mencintai ibu-bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara-mara dan sahabat handai. Tidak sama sekali, bahkan cinta sesama insan itu adalah dituntut dalam Islam. Tetapi yang menjadi masalah dan kesalahan adalah apabila cinta kepada selain Allah itu diletakkan lebih tinggi daripada cinta kepada Allah. Sepertimana firman Allah SWT :
(قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ) [سورة التوبة : 24]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Selain itu, terdapat dalam sebuah hadis bahawa mencintai Rasulullah SAW lebih daripada perkara lain adalah tanda wujudnya iman dalam diri seseorang.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ ". (رواه البخاري)
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : "Maka demi jiwaku yang berada dalam tanganNya, tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku menjadi yang paling dicintainya lebih daripada bapa dan anaknya". (Riwayat Bukhari)
Sedarlah sahabat sekalian, hanya orang yang tidak sedar akan wujudnya kasih-sayang dan cinta agung yang pasti dibalas dan tidak akan bertepuk sebelah tangan sahaja yang sanggup mencari cinta-cinta palsu dan rapuh. Tidak wajarlah kita sebagai seorang muslim dan mukmin, khususnya para du'at untuk mencari cinta-cinta murahan di laman-laman sosial khususnya atau di dalam dunia realiti, kerana mudaratnya sangatlah dahsyat sehingga memberi kesan kepada jiwa dan fikiran, seterusnya memberi kesan buruk juga kepada amal islamiah.
Hapuskan Fenomena 'Gedik Islamik' Ini!
Sebagai kesimpulan, seorang manusia yang mempunyai iman yang hakiki tidak sepatutnya meletakkan cintanya pada makhluk lebih daripada kedudukan cintanya kepada Allah.
Seorang lelaki tidak akan terhegeh-hegeh mencari 'makwe' atau 'awek' sekiranya dia sedar akan hakikat ini, sekiranya dia sedar wujudnya cinta yang agung yang pasti tidak akan mengecewakan. Sekiranya dia sedar akan cinta yang pasti tidak akan memberikan sebarang perasaan buruk dan berbaur-baur dalam kotak fikiran dan jiwanya. Sekiranya dia sedar akan wujudnya cinta ilahi yang pasti tidak akan mempermainkan perasaannya.
Seorang wanita pula tidak akan tergedik-gedik mempromosikan dirinya di laman-laman sosial menagih perhatian dan cinta daripada mata-mata lelaki rakus. Sekiranya dia sedar akan hakikat cinta kepada penciptanya yang pasti berbalas, cinta agung yang tidak berkiblatkan hawa nafsu, cinta tulus yang pasti akan membawanya ke syurga.
Semuanya sekiranya kita sedar... Namun hawa nafsu dan syaitan laknat itu sangat licik.
Cintailah yang maha mencintai, tundukkan nafsumu dan hentaknya sepenuh hati sehingga penyek. Seorang yang membawa risalah Islam seharusnya berjiwa besar. Suka untuk saya kongsikan trademark seorang sahabat baik saya, " Jaga ikhtilat, anda selamat".
Semuanya bermula daripada diri anda, letakkan cintamu pada Allah yang mulia, pasti dan pasti kebahagiaan dan ketenangan akan kau kecapi.
Wallahu a'lam




No comments:
Post a Comment