Buih-Buih Yang Tidak Kekal
![]() |
| Matrouh, 2015 |
(أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ
أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا ۚ وَمِمَّا يُوقِدُونَ
عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ ۚ كَذَٰلِكَ
يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ ۚ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً
ۖ وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ
الْأَمْثَالَ)
[سورة الرعد : 17]
"Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri
tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk
faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa
buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk
dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih
seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang al-haq dan
al-batil. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang,
manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di
bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan".
[Ar-Ra’d : 17]
Sudah menjadi satu sunnatullah, setiap perkara yang
dilakukan tidak didasari atau berlandaskan kepada wahyu pasti tidak akan kekal
lama. Ya, setiap perkara... Agama, ideologi, politik, sistem atau
undang-undang, percintaan, persahabatan, segala jenis urusan kehidupan harian,
dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besarnya. Setiap perkara
yang tidak dilakukan atas dasar wahyu pasti akan hancur binasa, biarpun pada
luaran dan awalnya nampak gah dan perkasa, namun ianya ibarat api yang membakar
dan memakan segala-gala yang disentuhnya, apabila ia tidak mendapati apa-apa
lagi untuk dibakar dan dimakan, ia akan memakan dirinya sendiri lantas lenyap.
"كالنار تأكل نفسها إن لم تجد ما تأكله..."
“Seperti api yang
memakan dirinya sendiri apabila tidak menjumpai apa-apa untuk dimakannya...”
Berbeza dengan setiap perkara yang dilakukan atas dasar
wahyu, ianya akan kekal. Kekal sehingga ke syurga. Walaupun pada luarannya ia
kelihatan kecil dan remeh, namun percayalah bahawa ia pasti akan kekal bersama
dengan pelakunya sehingga ke alam seterusnya. Ya, memang lahiriahnya perkara
tersebut akan hancur satu masa nanti, namun manfaatnya akan kekal
selama-lamanya.
Berapa banyak ideologi dan kepercayaan yang timbul dalam
kalangan manusia sekiranya kita meneliti lipatan sejarah perkembangan pemikiran
manusia. Sejarah dan kehidupan telah membuktikan bahawa segala ideologi yang
tercetus dalam diri-diri manusia melalui kerahan minda tanpa bimbingan wahyu
pasti akan gagal dan menjadi tidak relevan. Walau pada awalnya ianya
kelihatan stabil dan dipandang sebagai solusi ampuh kepada permasalahan-permasalahan
yang timbul dalam satu-satu masyarakat pada satu-satu masa. Namun pada akhirnya
ia pasti akan gagal dan rosak serta menyebabkan timbul pula pelbagai konflik
lain. Seterusnya ia terpaksa diubahsuai, ditokok tambah, dan ditukar-tukar nama.
Buktinya sudah terlalu banyak... liberalisme, sekularisme, pluralisme,
sosialisme, komunisme, paganisme, hinduisme, buddhisme, taoisme, confucianisme,
atheisme, dan pelbagai lagi nama-nama lain yang terlalu banyak untuk dimuatkan
disini. Kesemuanya adalah ideologi sesat yang terbit daripada semata-mata hawa
nafsu manusia tanpa bimbingan wahyu.
Berapa banyak hubungan antara manusia seperti percintaan,
kasih sayang dan persahabatan yang tidak terbina atas dasar wahyu sebaliknya
atas dasar hawa nafsu manusia yang jahat sekiranya kita meneliti kehidupan dan
sejarah kehidupan manusia. Kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana kisah-kisah
cinta terlarang yang bertuhankan hawa nafsu dan tidak berlandaskan wahyu hancur
dan berkecai pada akhirnya. Walau pada awalnya segala-gala kelihatan lancar dan
mampu bertahan dengan seribu janji-janji manis yang palsu, mungkin ia mampu
bertahan setahun dua atau lebih, namun masa dan sejarah tidak akan menipu, pada
akhirnya segala-gala pasti hanya tinggal kenangan pahit yang berbekas dalam dan
air mata. Kita juga dapat menyaksikan bagaimana kisah-kisah persahabatan yang
didasari dengan sifat tamak harta, menjaga satu-satu kepentingan diri, atau
mencari keuntungan-keuntungan lain, akhirnya persahabatan tersebut hancur dan
rosak akibat sifat hasad dengki atau perbuatan khianat.
Berapa banyak pula perjuangan-perjuangan politik yang
bermisi dan bervisikan hawa nafsu dan tidak berlandaskan wahyu sekiranya kita
mendalami kehidupan dan sejarah kehidupan. Kita dapat lihat bagaimana ahli-ahli
politik syaitan yang bertopengkan manusia ini ligat berpencak silat dalam
medan-medan pertempuran politik dengan amalan penipuan, rasuah, politik wang, fitnah-memfitnah
dan saling menjatuhkan. Kata-kata dan janji-janji manis dihambur dan ditabur
kepada rakyat marhaen dari mulut-mulut mereka demi sebuah kerusi DUN atau
Parlimen. Kita dapat lihat pakatan-pakatan politik yang dibina atas dasar hawa
nafsu dan bermisikan dunia pada akhirnya gagal dan menjadi tidak relevan akibat
sikap khianat. Akhirnya segala-galanya hancur dan tidak kekal lama, kerana
dasar pembinaanya yang rapuh iaitu hawa nafsu, walau pada awalnya kelihatan
gagah dan perkasa. Alangkah beruntungnya ahli-ahli politik yang berjuang atas
dasar wahyu kerana mereka akan mendapat perlindungan dan berada di bawah
teduhan yang menyenangkan pada hari yang tiada perlindungan selain pelindungan
Allah.
Begitulah hakikatnya perkara-perkara atau
perjuangan-perjuangan yang mengabaikan wahyu. Ianya nampak kuat dan ampuh,
nampak kompeten dan mampu menjadi solusi efektif kepada pelbagai krisis-krisis
yang timbul dalam satu-satu masyarakat. Namun sebenarnya ia hanya nampak cantik
pada bahagian luar, sedang bahagian dalamnya sedang berulat dan mereput dengan
laju. Ianya terbatas kepada sisi-sisi kehidupan manusia yang sudah sedia lemah
dan bersifat memerlukan sandaran.
Atas Dasar Wahyu...
Hiduplah di atas muka bumi ini dengan meletakkan wahyu
sebagai dasar atau perlembagaan utama dalam setiap perjuangan. Percayalah
bahawa hanya perjuangan ini sahaja yang akan diterima dan kekal sehingga ke
akhirat serta membawa ke syurga. Percayalah bahawa apa-apa perjuangan yang
mendahulukan hawa nafsu pasti akan kalah, gagal, hancur, rosak, tidak relevan,
dan tidak kekal lama. Walaupun kelihatan pejuang hawa nafsu itu menang dan
mampu berlaku zalim dalam satu tempoh yang lama, mungkin 50 tahun atau 60
tahun, hatta 1000 tahun sekalipun, tetap percayalah yang akan menang dan kekal
hanyalah perjuangan yang berlandaskan wahyu. Tetaplah percaya dan terus
berjuang, mungkin kita tidak menang hari ini atau di sini, tapi esok atau lusa,
di sana, anak cucu kita, siapa tahu? Pejuang-pejuang wahyu pasti akan menang
satu masa nanti, lambat atau cepat, kita atau generasi selepas kita.
Yang pasti dan tiada syak, pejuang-pejuang wahyu adalah
pemenang yang paling unggul di akhirat. Hari ini kita sering tertipu dengan
kemenangan-kemenangan yang berbentuk material di dunia dan terlupa akan
kemenangan yang paling besar di sana.
Oleh itu, tetaplah berpegang teguh dengan wahyu dan berwaspadalah
daripada kejahatan hawa nafsu.
وَحَدَّثَنِي عَنْ مَالِكٍ،
أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تَرَكْتُ
فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ
نَبِيِّهِ " .
Dari Malik sesungguhnya beliau menyampaikan bahawa Rasulullah SAW
bersabda , “ Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat
selama-lamanya sekiranya kamu berpegang teguh kepada keduanya, kitab Allah dan
sunnah nabi-Nya”.

No comments:
Post a Comment