Rama-Rama Yang Kecewa
![]() |
| Kajang, 2013 |
Rama-rama ketika masih dalam bentuk beluncas, tugasnya hanya
makan, makan, dan makan agar memastikan ianya mendapat zat dan nutrisi yang
cukup untuk terus menggemuk dan membesarkan badan.
Kemudian apabila tiba saat ianya telah memperoleh cukup zat,
tiba-tiba si beluncas menyembunyikan dirinya di dalam kepompong, meninggalkan hingar-bingar
dunia luar, tinggal berseorangan di dalam gelap gempita.
Setelah berlalu beberapa ketika, barulah ia keluar
memunculkan dirinya dengan bentuk yang cantik dan baru, terbang tinggi di
langit membiru, bertebaran di seluruh pelusuk alam, mempesona dan memukau
setiap mata yang melihat.
Namun amat malang dan ruginya, jangka hayatnya ketika sudah
mampu untuk terbang tinggi itu hanya sebentar.
Fakta : Kebanyakan spesis rama-rama dan kupu-kupu mempunyai
jangka hayat yang pendek. Sekitar beberapa hari hingga beberapa minggu. Tanpa
menafikan ada spesis yang mampu hidup sehingga setahun.
Jangan Jadi Seperti Rama-Rama
Begitulah kita, ramai orang khususnya mahasiswa atau penuntut
ilmu meninggalkan amal dakwah dengan alasan ingin mencukup dan menyempurnakan
diri dahulu dengan ilmu dan ibadah. Mengasingkan diri daripada masyarakat
dengan alasan ingin belajar dahulu dan menambah baik ibadah diri.
Antara kata-kata yang sering kita dengar,
"Aku ini belajar lagi, manalah aku layak nak buat
dakwah dan ajak-ajak orang nak buat baik... ".
"Nanti bila tiba masanya aku buat lah dakwah, aku
sendiri pun tak cukup ilmu lagi... ".
Beluncas Yang Hanya Pandai Makan Dan Makan
Pembaca yang disayangi sekalian,
Ibarat ulat beluncas, kebanyakan penuntut ilmu mengambil
sikap bacul dan pengecut dengan mengabaikan amal dakwah dengan alasan mereka masih
menuntut ilmu. Pada pandangan mereka, hal ini adalah kerana mempunyai ilmu
merupakan salah satu syarat yang ditetapkan oleh ulama’ bagi mereka yang
menjalankan amal dakwah. Bagi mereka, mereka perlu menuntut ilmu dahulu
sehingga menjadi ulama', barulah mereka boleh menjalankan amal dakwah tersebut.
Ustaz Ahmad Ar-Rasyid dalam salah sebuah bukunya yang masyhur
iaitu ‘Al-Muntolaq’ atau dalam versi Bahasa Melayunya 'Langkah Bermula' telah
menyentuh isu ini dengan sangat baik dalam bab ke-4, iaitu bab 'Kewajipan
Dakwah Ke Jalan Allah'. Beliau menyatakan bahawa syubhat atau kesamaran tentang
isu ini bertitik tolak daripada kata-kata Imam Ar-Radzi yang turut disokong
oleh Imam Al-Qurtubi dan Imam Al-Jassas.
Imam Al-Radzi berkata : "Sesungguhnya tugasan ini
dikhaskan buat ulama'. Ini kerana untuk berdakwah kepada kebaikan : seseorang
itu mesti tahu tentang perkara-perkara kebaikan, perkara yang makruf dan
perkara yang munkar. Maka jelaslah bahawa tugasan dakwah ini ditujukan kepada
golongan ulama, bukan kepada golongan yang jahil. Ulama' adalah sebahagian dari
umat Islam". [Tafsir Ar-Radzi, jilid 7, mukasurat 177]
Dengan berhujahkan potongan kata-kata Imam Ar-Radzi ini,
golongan pengecut dan bacul ini telah menimbulkan kekeliruan dengan mentafsirkan
perkataan ‘golongan’ yang disebut di dalam ayat 104 Surah Ali Imran sebagai
golongan ulama’ yang pakar dalam hal ehwal agama sahaja ;
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ
إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ
هُمُ الْمُفْلِحُون
"Dan hendaklah ada di antara kamu ada SATU GOLONGAN
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah
(buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang
berjaya".
Beluncas Itu Menyangka Perlu Menjadi Rama-Rama Terlebih
Dahulu
Ya, tidak dinafikan bahawa berdakwah kepada kebaikan itu
sangat memerlukan kepada seseorang pendakwah supaya memiliki ilmu yang mantap
dan mapan. Tetapi itu tidak bermaksud bahawa seseorang itu perlu menunggu
sehingga mampu untuk menguasai dengan sempurna setiap selok-belok dan cabang
ilmu yang wujud di atas muka bumi ini baru mereka layak untuk berdakwah dan
mengajak manusia kepada Allah. Sungguh, jauh sekali andaian tersebut.
Mereka mendakwa bahawa mereka perlu menjadi rama-rama yang
indah terlebih dahulu baru boleh memukau dan mengajak manusia kepada
kebaikan...
Dr. Abdul Karim Zaidan (semoga Allah merahmati roh beliau)
telah menghuraikan kekeliruan ini di dalam salah sebuah buku tulisan beliau, ‘Usul
Al-Dakwah’.
“... Tetapi mereka terlupa bahawa ilmu itu bukannya satu dan
bukannya tidak boleh dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian. Maka sesiapa
yang alim dan tahu dalam suatu permasalahan tetapi jahil dalam masalah yang
lain maka dia adalah alim dalam permasalahan yang pertama dan jahil dalam
permasalahan yang kedua. Ini bermaksud bahawa dia dikira sebagai ulama' dalam
permasalahan pertama, oleh itu diwajibkan berdakwah dalam permasalahan yang
diketahui tetapi tidak dalam permasalahan yang tidak diketahui, para fuqaha'
tidak berselisih dalam isu ini. Adapun sesiapa yang jahil dalam suatu perkara
ataupun suatu hukum maka dia tidak wajib berdakwah tentangnya, hal ini adalah
kerana berilmu dengan sebenar-benarnya dalam perkara yang didakwahkan adalah
syarat kepada kesahihan dakwah. Maka oleh itu, setiap muslim itu wajib
berdakwah kepada Allah dengan sekadar yang diketahui...”. [Dr. Abdul Karim
Zaidan, Usul al-Dakwah, Muassasah al-Risalah al-Nashirun, mukasurat 300]
Beluncas Yang Bersembunyi Di Dalam Kepompong
"Aku ini solat Tahajjud pun tak berapa nak buat, puasa
sunat pun jarang-jarang, inikan pula nak buat dakwah, nanti bila aku dah mampu
bertahajjud tiap-tiap malam, mampu khatam Al-Quran 4 kali sehari, mampu puasa
sunat 6 hari seminggu, barulah aku buat dakwah. Barulah dakwah aku mampu
mengesani setiap jiwa yang diseru. Eceh".
Ulat beluncas itu lari bersembunyi di dalam kepompong, duduk
diam bertapa di dalam dunianya sendiri, abaikan setiap hiruk-pikuk dan suasana
gamat di luar...
Golongan bacul dan pengecut yang hanya mengasingkan diri
daripada hingar-bingar masyarakat dengan tujuan untuk menumpukan kepada ibadah
kepada Allah SWT sebenarnya telah muncul sejak zaman Rasulullah SAW masih hidup
lagi. Antara sahabat baginda yang lantang berdiri menentang golongan ini adalah
Abdullah Ibn Mas'ud RA.
Ustaz Ahmad Ar-Rasyid telah menyentuh isu ini di dalam buku
yang sama, dalam bab ke-5 iaitu bab 'Ahli Ibadah Yang Bermain-Main'. Ustaz
Ahmad Ar-Rasyid telah menukilkan kisah Abdullah Ibn Mas'ud RA yang bangun menentang
perbuatan sekumpulan lelaki dari Kufah yang bertindak keluar dari bandar tempat
tinggal mereka yang penuh dengan gejala kerosakan akhlak ;
Seorang ahli fiqh dari para tabi'in Kufah yang arif dan
bijaksana, Amir As-Sya'bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah
keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana.
Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah Ibn Mas'ud
RA lalu beliau pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan
kedatangan beliau. Tiba-tiba Abdullah Ibnu Mas'ud RA berkata kepada mereka :
“Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”
Mereka berkata : “Kami ingin lari dari hingar-bingar dan kelam-kelibut
orang ramai untuk beribadah.”
Lalu Abdullah Ibn Mas'ud berkata : “Jika semua orang buat
seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan
tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.”
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Syeikh Al-Muhaddith, Abdullah Ibn Mubarak.
Kemudian Ustaz Ahmad Ar-Rasyid turut menukilkan di dalam bab
yang sama kisah Abdullah Ibn Mubarak RA, seorang lelaki yang hidup di zaman tabi'in.
Beliau mewarisi semangat jihad dan dakwah Abdullah Ibn Mas'ud dalam menentang
golongan yang beruzlah dan mengasingkan diri daripada kacau-bilau dan
kelam-kelibut masyarakat.
Abdullah Ibn Mubarak RA merupakan seorang ahli hadith yang
thiqah, alim dalam pelbagai cabang ilmu, dan faqih dalam perbahasan fiqh. Namun
itu semua tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang pendakwah yang tegar
dan juga seorang mujahid yang perkasa di tengah-tengah medan perang.
Diriwayatkan bahawa setiap tahun beliau akan turun menyertai peperangan di Rom
Timur.
Beliau juga pernah menempelak dan menegur sahabat baiknya
yang juga merupakan seorang ahli hadith yang thiqah, alim, abid, dan zahid yang
terkenal iaitu Al-Imam Al-Fudhail Ibn Iyadh RA kerana meninggalkan jihad dan
mengasingkan diri untuk beribadat di dua tanah haram, Mekah dan Madinah. Abdullah
Ibn Mubarak menegur beliau melalui sebuah puisi yang dikirim, dalam puisi
tersebut beliau mengatakan bahawa Al-Fudhail Ibn Iyadh RA adalah seorang ahli
ibadah yang bermain-main dengan ibadahnya.
Cukuplah kisah dua orang tokoh hebat daripada kalangan
sahabat dan tabi'in iaitu Abdullah Ibn Mas'ud RA dan Abdullah Ibn Mubarak RA
sebagai penolak atau pendesak kepada kita untuk bangkit melaksanakan amal
dakwah seterusnya menyebarkan kasih sayang dan keamanan yang dibawa oleh agama
Islam ke seluruh pelusuk alam.
Islam yang dibawa oleh baginda junjungan, Rasulullah SAW
adalah Islam dakwah, Islam amar makruf nahi munkar, dan Islam jihad. Islam itu
bukan beruzlah dan mengasingkan diri daripada masyarakat serta mengabaikan
mereka dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT semata-mata. Islam yang
sebenar yang wajib kita imani adalah Islam yang bergerak aktif dan dinamik,
bukannya Islam yang pasif dan pegun. Seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu
Talhah Ibn Ubaidillah RA pernah berkata ;
إن أقل العيب على المرئ أن يجلس في داره
"Sesungguhnya cukuplah menjadi aib kepada seseorang itu
apabila dia hanya duduk-duduk di rumahnya".
Kita Adalah Full-Timer Dalam Amal Dakwah
Nah, sekarang tiada lagi alasan yang dapat menjustifikasikan
tindakan mengabaikan amal dakwah atas alasan ingin menuntut ilmu terlebih
dahulu atau ingin menambah baik ibadah diri. Sesungguhnya kedua-dua alasan ini hanya
diamalkan oleh golongan yang bacul dan pengecut, golongan yang cuba melarikan
diri daripada tanggungjawabnya.
Ketahuilah bahawa amal dakwah itu adalah kewajipan yang
ditanggung dan dibebankan di atas bahu setiap orang yang mengaku dirinya
seorang muslim. Keluarlah dari rumahmu, dan ajaklah manusia seluruhnya kepada
keindahan Islam, cegahlah manusia daripada melakukan kerosakan, walau apa pun
keadaan dirimu. Manfaatkan setiap ruang masa yang ada!
Jangan menjadi seperti ulat beluncas yang hanya tahu makan
dan menggemukkan badannya, jangan juga menjadi seperti kepompong yang statik
dan mengabaikan dunia luarnya, Kelak apabila kamu menjadi rama-rama yang mampu
terbang nanti, kamu akan menyesal kerana masa kamu untuk menyebarkan keindahan
hanya berbaki sedikit.
Wallahu a'lam.


.jpg)
Masya-Allah. Jazakallah atas perkongsian ini akh. Banyak membantu mengingatkan ana. Teruskan menulis (y)
ReplyDeleteWajazakallahu khairan. Alhamdulillah. Semoga Allah kurniakan thabat kepada kita.
DeleteMasyaallah..entri yang sangat menarik dan menusuk hati.. Syukran akhi
ReplyDelete